PETALING JAYA – Rakyat Malaysia menyeru kerajaan untuk mengenakan larangan minum arak dan minuman manis, perjudian, kelab malam, karaoke serta pub kepada generasi akan datang, bukan hanya melarang mereka menghisap rokok dan vape seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.
Pendapat tersebut diperolehi melalui satu tinjauan yang dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara online setelah berjaya mengumpul 1,259 responden.
Tinjauan pendapat secara online itu dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan vape untuk generasi akan datang.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@Toqqi berkata, hasil tinjauan tersebut mendapati sebanyak 89 peratus responden mahukan kerajaan mengharamkan arak, 69 peratus mahu diharamkan penjualan minuman manis, 86 peratus haramkan perjudian dan 79 peratus responden mahukan kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke serta pub.
“Kita juga maklum bahawa produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif kepada pengguna. Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa, minuman manis memberikan kesan kepada kesihatan dan perjudian boleh menyebabkan rakyat terjerumus dengan hutang.”
“Dan sekiranya kerajaan nekad memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas sebab kemudaratan kesihatan, ramai juga telah bersuara agar pihak berkuasa mengenakan larangan yang sama untuk membasmi semua tabiat negatif kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan merokok dan penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005. -KOSMO!ONLINE