PUTRAJAYA – Kesihatan mental bukan hanya diserahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada pihak profesional semata-mata malah, masyarakat juga seharusnya turut bersama dalam hal berkenaan.
Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkata, untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, seseorang itu tidak perlu menjadi individu profesional.
“Kita tidak perlu untuk menjadi profesional dalam memberikan bantuan. Saya berpendapat isu kesihatan mental ini adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan kita serahkan kepada pihak profesional seperti hospital.
“Misalnya kita bertanya khabar jiran, saling bertanya dan jadikan kesihatan mental sebagai perbualan ringan. Sudah tentu ia tidak untuk semua orang memandangkan ada yang memerlukan bantuan perubatan daripada pihak profesional.
“Bagaimanapun sekurang-kurangnya kita boleh melakukan pencegahan selain turut serta dalam membantu komuniti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) Mempromosi Kesihatan Mental Positif Dalam Kalangan Belia antara Heriot-Watt University Malaysia (HWUM) dan Green Ribbon Group (GRG) di sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Puteri Iman Afzan yang juga Pengasas dan Presiden GRG menandatangani MoU dengan HWUM yang diwakili Provost dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Mushtak Al-Atabi. – KOSMO! ONLINE