MUNICH – Pasukan Jerman terlepas peluang untuk merakam kemenangan sempurna ke atas England, sebaliknya terpaksa akur dan berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di Allianz Arena awal pagi semalam.
Skuad Die Mannschaft menguasai 63 peratus perlawanan tetapi gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang dan sekadar menjaringkan satu gol melalui Jonas Hoffmann pada minit ke-50.
Hasrat untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88 untuk menyamakan kedudukan buat England.
Ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick tidak terkilan dengan keputusan itu biarpun mereka sudah seri tiga perlawanan berturut-turut selepas terdahulu terikat 1-1 dengan Itali dan Belanda.
“Hari ini kami bermain seperti mana yang saya mahukan dan ia adalah sesuatu yang menggembirakan buat barisan kejurulatihan dan juga penonton.
“Malangnya kami tidak berjaya memenangi perlawanan ini. Sepakan penalti pada lewat permainan itu merugikan kami,” jelas Flick.
Begitupun, Flick tetap memuji impak ditunjukkan bintang Chelsea, Kai Havertz yang diturunkan beraksi sebagai No.9, sekali gus memberi bayangan namanya akan disenaraikan ke Piala Dunia Qatar 2022.
“Havertz bermain tiga posisi hari ini. Dia sangat hebat dan menunjukkan begitu banyak peningkatan sejak beraksi di bawah bimbingan Thomas Tuchel,” jelasnya. – AGENSI