LONDON – Persiapan ratu tenis sensasi Britain, Emma Raducanu bagi menghadapi kejohanan Wimbledon minggu depan terganggu selepas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) tersebut terpaksa menarik diri pada pusingan pertama Terbuka Nottingham kelmarin.
Pada saingan itu, pemain berusia 20 tahun tersebut terpaksa menghentikan perlawanan seketika untuk mendapatkan rawatan sejurus mengalami kecederaan ketika menentang pemain Switzerland, Viktorija Golubic.
Raducanu dilihat menerima rawatan bahagian kiri anggota badannya sebelum mengambil ubat tahan sakit bagi membantunya meneruskan aksi. Bagaimanapun, Raducanu terpaksa membuat keputusan menarik diri selepas hanya mampu bertahan 33 minit perlawanan.
Ini kali ketiga Raducanu menarik diri daripada menyertai perlawanan selepas memenangi Terbuka AS pada September tahun lepas. Pemain ranking No.11 dunia tersebut turut tewas di Guadalajara pada Februari lepas dan Rome (Mei lalu) susulan kecederaan.
“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan kecederaan menimpa saya sangat pelik. Saya tidak tahu apa yang saya mampu lakukan mengenai kecederaan tersebut.
“Saya perlu menjalani pemeriksaan susulan dan saya tidak boleh membuat andaian sendiri. Selepas itu kita akan lihat dan mengambil nasihat pakar serta proses seterusnya. Saya tidak pasti mengenai Wimbledon,” katanya.
Kecederaan Raducanu menimbulkan keraguan mengenai tahap kecergasannya untuk meneruskan penyertaannya bagi siri Jelajah WTA. – AGENSI