fbpx

Cuma batuk berkahak, Hamid Gurkha tak masuk ICU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMID Gurkha menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Hospital, Klang disebabkan batuk berkahak.

PETALING JAYA – Mengalami batuk berkahak sejak malam Rabu, pelawak legenda Hamid Gurkha, 90, dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada pagi tadi.

Menurut anak bongsunya, Nor Ashita, bapanya berada dalam keadaan stabil dan tidak tenat sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) seperti didakwa rakan-rakan artis menerusi media sosial mereka.

“Sebenarnya kami sekeluarga agak terkejut apabila dapat tahu ada rakan artis yang berkongsi berita dalam media sosial memaklumkan bapa berada di ICU. Sebenarnya, bapa saya cuma batuk berkahak sejak malam tadi.

“Sekitar pukul 6 pagi tadi, bapa minta kami bawa ke HTAR. Ketika itu, bapa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan diberi pemerhatian termasuk bekalan oksigen.

“Cuma selepas dirawat, doktor memberitahu bapa perlu ditahan di dalam wad. Ketika ini, bapa sedang menunggu dimasukkan ke wad biasa,” katanya ketika diihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Nor Ashita, kakaknya Nor Azian berada di HTAR untuk menguruskan keperluan bapanya, bagaimanapun disebabkan virus Covid-19 masih menular pelawat tidak dibenarkan masuk.

“Alhamdulillah, bapa faham dan dia okey bersendirian di wad. Bapa rimas batuk berkahak membuatkan dia cepat penat, jadi dia mahu segera pulih. Doakan kesihatannya baik seperti sedia kala,” ujarnya.

Jelas anaknya lagi, atas faktor usia, Hamid Gurkha atau mesra di sapa Pak Hamid, kini semakin uzur dan mempunyai masalah pendengaran.

Malah, dia pernah dijangkiti virus Covid-19, namun pulih seperti biasa dan masih mampu berdikari dalam menjalani kehidupan seharian.

Pak Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957.

Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia.

Kali terakhir Pak Hamid berlakon menerusi filem Superbike The Movie bersama Kamal Adli, Shiqin Kamal dan Fizo Omar pada 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI