fbpx

Budak perlukan RM250,000 biaya pembedahan tulang belakang bengkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rapihusin menunjukkan kasut khas yang digunakan Nur (Rania kiri) untuk mengimbangi badan ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelai 1, Tampin semalam. – NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Seorang bapa runsing memikirkan cara mendapatkan wang bagi membiayai kos pembedahan anak sulungnya yang menderita penyakit scoliosis atau tulang belakang bengkok.

Rapihusin Md. Isa, 36, berkata, dia memerlukan kira-kira RM25,000 untuk kos rawatan dan pembedahan Nur Rania Aqira Rapihusin yang berusia sembilan tahun bagi mengelakkan anak­nya lumpuh.

Menurut lelaki itu, buat masa ini, doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) menganggarkan tulang belakang anaknya bengkok lebih 70 darjah dan berisiko lumpuh sekiranya mencecah 90 darjah jika lambat menjalani pembedahan.

“Sebagai bapa, saya berasa bimbang dan sedih mengenang masa depan Nur Rania yang menga­lami masalah itu sejak berusia dua tahun.

“Jika mempunyai wang mencukupi, sudah pasti saya akan menyegerakan pembedahan, namun apakan saya hanya menoreh getah.

“Pendapatan diperoleh hanya cukup-cukup makan untuk kami empat beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Jelai 1, di sini semalam. Selain Nur Rania, seorang lagi anak Rapihusin berusia tujuh tahun.

Menurut Rapihusin, dia sudah menghantar permohonan mendapatkan bantuan kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL dan berharap usahanya itu berhasil bagi mengurangkan kos pembedahan tersebut.

“Nak harapkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya hanya mencarum selama setahun sewaktu bekerja di kedai serbaneka kira-kira 10 tahun lalu dan kini berbaki RM100,” katanya.

Bercerita mengenai Nur Rania, Rapihusin memberitahu, selepas dilahirkan, anaknya itu dimasukkan ke Unit Rawatan Intensif Neonatal Hospital Serdang selama hampir sebulan kerana beratnya 1.7 kilogram selain masalah jantung.

Disebabkan itu, Rapihusin ke­rap mengambil cuti untuk mengu­ruskan isterinya, Najibah Abdul Rashid, 34, dan anak sehingga menyebabkan majikannya menyarankan supaya dia berhenti kerja.

“Akhirnya saya ambil keputusan pulang ke kampung atas bantuan keluarga dan bekerja sebagai penoreh getah,” katanya.

Setakat ini, Nur Rania yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) me­nerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Disebabkan tulang belakang yang semakin membengkok, Nur Rania perlu memakai kasut yang ditempah khas bagi mengimba­ngi badannya.

Menurutnya lagi, susulan keadaan tulang belakang yang semakin membengkok, paru-paru Nur Rania terhimpit dan menyebabkan kanak-kanak itu kadang kala sukar bernafas.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan kepada keluarga Nur Rania boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 155096227950 atas nama Rapihusin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI