fbpx

Bantuan kewangan kukuhkan syarikat, kurang gangguan pesaing – saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

SHAH ALAM – Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bantuan kewangan yang diberikan oleh syarikatnya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat mengukuhkan syarikatnya pada masa itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Wan Quoris Shah Wan Abdul, 42, berkata, ia terbukti apabila melalui bantuan kewangan tersebut, Ahmad Zahid menyokong syarikatnya selain dapat mengurangkan gangguan daripada pesaing-pesaing syarikat yang lain.

Saksi pendakwaan ke-16 itu mengatakan, wang tunai yang diberikan oleh syarikatnya kepada Ahmad Zahid selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta tolong untuk bantuan kewangan sebagai sumbangan politik kepada UMNO.

“Ahmad Zahid tak minta secara terangan, tetapi daripada percakapannya saya faham yang beliau mengharapkan sumbangan wang daripada UKSB. Penyerahan wang biasanya dibuat setiap bulan, tetapi ada juga beberapa kali UKSB memberikan wang kepada Ahmad Zahid secara ‘one-off’ (secara sekali). Bagi kami yang utama adalah untuk memastikan perniagaan kami tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang kami sedang jalankan,” katanya.

Mengulas lanjut saksi itu ketika membaca pernyataan saksiya berkata, wang-wang tunai yang diserahkan kepada Ahmad Zahid disediakan oleh pengurus pejabat UKSB David Tan yang mana lelaki itu adalah orang yang rapat dengan bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun.

“Wang tunai akan dimasukkan dalam envelope (sampul) bagi tujuan penyerahan. Setiap kali serahan hendak dibuat, saya akan pergi bersama Harry Lee dan jika Harry Lee tidak dapat pergi, saya dan David Tan akan pergi.

“Saya tidak ingat tarikh-tarikh serahan dibuat, tetapi ianya dibuat setiap bulan mengikut kesesuaian masa Datuk Seri (Ahmad Zahid)” kata saksi itu yang mengenali Ahmad Zahid sejak tahun 2003.

Mengulas lanjut, wang yang diberi UKSB yang diserahkan setiap bulan adalah berbentuk wang tunai yang kesemuanya menggunakan mata wang Dollar Singapura (Singapore Dollar) yang mana ia permintaan Ahmad Zahid kepada syarikatnya.

Dalam pada itu saksi itu dalam pernyataan saksinya turut mengakui kejayaan UKSB untuk mendapat kontrak-kontrak Visa Luar Negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) tidak mungkin dicapai tanpa bantuan Ahmad Zahid.

Sebelum ini dalam keterangan pada Mei lalu saksi pendakwaan ke-15 Hary Lee mengesahkan kepada mahkamah bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem VLN.

Harry Lee berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SGD$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SGD$520,000 sebulan pada 2017.

Terdahulu saksi itu turut memberitahu sudah menjadi resmi (kelaziman) orang-orang perniagaan untuk cuba mencari peluang di mana-mana kementerian atau agensi kerajaan untuk mendapatkan kontrak.

Ahmad Zahid ,69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI