PETALING JAYA – Belum sebulan selepas melafazkan cerai talak satu terhadap bekas isterinya Ellie Suriaty, pelakon Azri Iskandar berkongsi berita gembira apabila bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita berstatus anak dara dalam masa terdekat.
Azri, 54, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia mengenali bakal isterinya yang bernama Dr. Azra Diera dalam tempoh 12 hari selepas bercerai dengan Ellie pada 17 Mei lalu.
“Kali pertama saya berjumpa Azra ketika kami sama-sama berbincang untuk sebuah projek drama bersama RTM. Orang kata cinta pandang pertama.
“Selepas berjumpa, saya ada hubungi Azra untuk bertanya tentang projek tersebut. Tapi sebenarnya saya rindu mahu dengarkan suaranya,” ujar Azri kepada Kosmo!
Bercerita lebih lanjut, pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu memberitahu bakal isterinya itu memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan muzik dan pernah bekerja dengan nama-nama besar di Hollywood.
“Saya pun mulanya tidak tahu dia (Azra) ada PhD dalam bidang muzik. Ingatkan dia hanya seorang penulis skrip,” kata Azri.
Perihal perancangan pernikahannya, Azri belum menetapkan tarikh, namun merancang berjumpa dengan keluarga bakal isterinya yang kini berusia 43 tahun itu di Perlis dalam masa dua minggu lagi untuk urusan merisik.
“Kalau boleh saya mahu urusan pernikahan kami dipercepatkan dalam bulan ini juga,” katanya.
Menyentuh tentang restu anak-anak, Azri bersyukur mereka menerima keputusannya untuk berkahwin lagi walaupun baru sahaja berpisah dengan bekas isteri.
Kata Azri, dia juga mahukan kebahagiaan dalam hidup memandangkan anak-anaknya juga semakin membesar dan bakal mempunyai kehidupan sendiri suatu hari nanti.
“Saya minta izin juga dengan anak-anak. Awalnya mereka mempersoalkan juga keinginan saya untuk berkahwin. Tapi mereka faham saya juga perlu bahagia,” katanya.
Sedar keputusannya untuk berkahwin lagi walaupun belum sebulan melafazkan cerai terhadap Ellie, Azri meminta supaya netizen faham dan menghormati keputusannya.
Sekadar info, Ellie dan Azri berkahwin pada 2003 dah hasil perkongsian hidup hampir dua dekad, pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13.
Anak keduanya, Nur Aliah Omar Iskandar meninggal dunia selepas 15 minit dilahirkan.
Sementara anak keempatnya, Ahmad Muhammad Iskandar meninggal dunia dalam kandungan berusia lima bulan ketika penggambaran filem Penanggal. – KOSMO! ONLINE