fbpx

Robot eksoskeleton bantu pesakit lumpuh berjalan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. MOHD FOZI (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Perniagaan Angle Robotics, Prof. Dr. Dongwook Rha (kiri) melihat demontrasi robot eksoskeleton selepas memorandum perjanjian kedua-dua pihak di Putrajaya baru-baru ini.

KEBERKESANAN terhadap sesuatu rawatan rehabilitasi atau pemulihan bergantung kepada pelbagai aspek seperti intensiti, kekerapan terapi yang spesifik dan maklum balas pesakit terhadap rawatan diberikan.

Namun begitu, untuk sentiasa memastikan keperluan terapi ini dipenuhi adalah satu cabaran yang besar.

Bagi memastikan intervensi yang diberikan berada pada tahap optimum, ia amat bergantung kepada ketersediaan sumber manusia, pembiayaan dan sumber peralatan.

Oleh itu, intervensi robotik dalam rawatan pemulihan yang telah diiktiraf beberapa dekad yang lalu sememangnya mempunyai potensi besar dalam membantu proses pemulihan individu yang lumpuh dan tidak boleh berjalan.

Pemulihan menggunakan kaedah robotik bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, malah beberapa pusat pemulihan dan hospital telah melabur dengan kos yang tinggi untuk mengadaptasi teknologi tersebut bagi menyokong rawatan pemulihan konvensional.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mempunyai rekod prestasi dan pengalaman luas dalam penyelidikan merentas disiplin berkaitan kemajuan teknologi penjagaan kesihatan juga tidak melepaskan peluang untuk menjadi hab penyelidikan pemulihan robotik dalam penjagaan kesihatan.

Penggunaan robot tersebut dapat melatih semula otot-otot bagi menguatkan kaki pesakit lumpuh bagi membolehkannya berjalan kembali.

Baru-baru ini, UiTM telah menerima dua robot eksoskeleton melalui satu memorandum perjanjian penyelidikan dengan syarikat Angel Robotics Co. Ltd. dari Korea Selatan.

Robot eksoskeleton yang dipinjamkan itu bernilai RM400,000 setiap satu.

Kerjasama dengan syarikat tersebut serta sebuah hospital swasta berasaskan program pemulihan yang juga berasal dari Korea Selatan iaitu Hospital Rehabilitasi Daehan di Putrajaya akan mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai pemain utama yang penting dalam memangkin penyelidikan teknologi dalam penjagaan kesihatan.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Mohd Fozi Ali berkata, melalui kerjasama itu, UiTM akan meningkatkan kemahiran pasukan tempatan dalam menguruskan dan mengendalikan robot eksoskeleton.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan membolehkan kita menjalankan penyelidikan yang sangat diperlukan dalam rawatan pemulihan.

“Melalui maklumat terkini yang diperoleh daripada penyelidikan, ia akan membantu kita mengubah cara dalam rawatan pemulihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Perubatan UiTM, Prof. Madya Dr. Fazah Akhtar Hanapiah berkata, robot eksoskeleton boleh digunakan oleh pesakit-pesakit yang berhadapan masalah seperti angin ahmar, masalah melibatkan urat saraf, lumpuh atau sebarang penyakit yang tidak membolehkan seseorang individu itu berjalan.

Robot eksoskeleton dari Korea Selatan ini bernilai RM400,000 sebuah.

Menurutnya, robot itu akan membantu memberi sokongan dan melatih semula otot-otot bagi menguatkan kaki pesakit yang berhadapan dengan masalah tersebut.

“Buat permulaan, tidak semestinya seseorang pesakit yang melalui proses pemulihan ini akan boleh terus berjalan.

“Kita mulakan dari duduk dahulu dan selepas itu berdiri untuk seimbangkan badan dan barulah boleh berjalan,” terangnya.

Tambahnya, melalui kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan kegunaan robot bersama pemulihan fizikal akan mempercepatkan proses pemulihan seseorang pesakit.

Sementara itu, Dr. Fazah berkata, buat masa ini kajian penggunaan robot itu adalah di peringkat klinikal.

Namun beliau melihat, kerjasama tersebut memberi peluang yang lebih besar memandangkan UiTM mempunyai pelbagai bidang kepakaran dan disiplin.

“Kita akan menggunakan peluang ini untuk mendedahkan mereka yang terlibat dalam bidang kejuruteraan, terapi dan lain-lain dalam kajian robotik ini,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI