KUALA LUMPUR – Suasana meriah sempena cuti persekolahan di sekitar ibu negara sejak Sabtu lalu susulan kehadiran ramai pelancong tempatan dari luar Lembah Klang telah memberi rahmat dan durian runtuh kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.
Tidak hanya bersyukur apabila hasil jualan laku bagaikan pisang goreng, rata-rata peniaga yang ditemui turut tersenyum lebar apabila mampu meraih pendapatan dua kali ganda berbanding biasa.
Seorang peniaga kuih dan goreng pisang di Jalan Sultan Ismail di sini, Noor Kartini, 38, berkata, ramai dalam kalangan warga kota memilih untuk tidak pulang ke kampung walaupun cuti panjang persekolahan.
“Lebih menarik apabila orang luar Lembah Klang yang datang ke sini dan menjadikan ibu negara sebagai destinasi percutian.
“Inilah peluang untuk kami menambah pendapatan apabila hampir setiap laluan utama di ibu negara dipenuhi oleh orang ramai yang bercuti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut beliau, ramai pengunjung yang datang ke gerainya adalah pelancong dari luar Kuala Lumpur.
“Mereka akan beli goreng pisang dan kuih-kuih dengan kuantiti yang banyak bagi menjamu keluarga dan saudara. Terima kasih kerana mereka menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian,” ujarnya.
Situasi sama turut dirasai penjual laksa dan air kelapa, Mohd. Putra, 31, yang berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) apabila musim cuti persekolahan ini telah memberi rezeki yang banyak kepadanya.
“Lokasi perniagaan saya berdekatan dengan premis-premis perniagaan dan juga kediaman, jadi memang ramai yang datang ke sini ketika musim cuti.
“Dari segi jualan, saya mampu menjual sehingga 300 biji kelapa dalam sehari, berbanding hanya kira-kira 200 biji sebelum ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di salah satu lokasi tumpuan di Jalan Bukit Bintang mendapati kawasan itu dibanjiri ramai pelancong dari luar negara, sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga tempatan.
Seorang peniaga kebab dikenali Abdul, 43, berkata, penjualan kebab di kedainya meningkat mendadak sempena cuti persekolahan dan cuti umum pada Isnin.
“Pada hari biasa, saya boleh menjual sebanyak 250 hingga 300 kebab, tetapi semalam (kelmarin), jualan saya mencecah 600 biji kebab.
“Ini bermakna, saya mampu menambah pendapatan harian daripada hanya RM3,000 sehari kepada RM6,000 sehari.
“Saya menguruskan gerai yang kecil dengan tiga orang pekerja, memang tidak menang tangan melayan tempahan orang ramai yang rata-rata merupakan pengunjung luar,” tambahnya.
Seorang lagi peniaga minuman, Farah Osman, 32, pula melahirkan rasa gembira apabila jualannya habis hanya dalam beberapa jam ekoran sambutan luar biasa daripada orang ramai.
“Semuanya bergantung kepada cuaca, sekiranya cuaca panas jualan air memang akan mendapat sambutan.
“Sebelum ini, saya boleh menjual 200 hingga 300 bekas air berharga RM7 sebekas, namun semalam (kelmarin), saya berjaya jual 450 bekas,” katanya.