JOHOR BAHRU – Seorang penjaga stor dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan cabul terhadap dua beradik perempuan pada Mei lalu.
Tertuduh, Ibnu Azim Azmi 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Pasir Gudang, pada pukul 10 malam, 23 Mei lalu.
Atas perbuatan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika didapati bersalah.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, tertuduh juga mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret, Nurmadiana Mamat atas kesalahan melakukan cabul terhadap rakan sekerjanya di sebuah kedai serbaneka di Pasir Gudang, pada pukul 10.15 malam, 25 Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew di Mahkamah Sesyen manakala Nor Maisarah Hassan pula di Mahkamah Majisteret. Tertuduh diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara dengan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan, passport diserahkan kepada mahkamah dan larangan mengganggu, menghampiri mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE