fbpx

Peniaga online mengaku salah buat laporan palsu dakwa kena rompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Muhammad Hadiq Hamdi (tengah) untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang peniaga online mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu yang dia mendakwa dirompak selepas mengeluarkan wang sebanyak RM6,000 di sebuah bank di Kubang Kerian di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Hadiq Hamdi Mohd. Suhaimi, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Pegawai Kanan Pendaftar, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mengatakan dia dirompak dua lelaki yang menaiki motosikal dengan pisau selepas mengeluarkan wang sebanyak RM6,000 di sebuah bank di Kubang Kerian sini pada 4 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan oleh Muhammad Hadiq Hamdi di Balai Polis Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 12.37 tengah hari pada 5 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Ab. Rahman.

Terdahulu, Sharifah Amirda menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Nik Nazriani dalam rayuannya memohon jaminan yang rendah kerana tertuduh hanya bekerja sambilan menjalankan perniagaan online dengan pendapatan yang tidak menentu.

Katanya, Muhammad Hadiq Hamdi juga merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Julai depan untuk jatuh hukum.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI