GEORGE TOWN – Pasukan Penang FC berupaya menunjukkan peningkatan drastik ketika kurang dua minggu berada di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan sekali gus mula memberi bayangan akan perubahan prestasi kedudukan Liga Super 2022 nanti.
Perkara tersebut diakui pengemudinya, Zainal ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan persahabatan kedua menentang pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Bandaraya di sini malam semalam.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Harimau Kumbang mengikat keputusan seri 1-1 menerusi gol tunggal Muhd Faizat Mohd. Ghazali pada minit ke-16, manakala gol KDA FC diledakkan pemain importnya dari Cameroon, minit ke-87.
Menurut Zainal, beliau tidak menyangka yang pasukan Penang FC mampu mempamerkan rentak permainan positif di luar jangkaannya menerusi dua perlawanan persahabatan menentang Selangor FC pada 3 Jun lalu dan KDA FC kelmarin.
“Sekarang adalah kerja saya untuk memastikan pasukan ini sudah bersiap sedia sepenuhnya sebelum liga bermula.
“Jadi, banyak kerja yang perlu dibuat dan pemain kena memahami perancangan dan apa yang pasukan mahukan.
“Tetapi, mereka sudah menunjukkan peningkatan yang cukup cepat daripada apa yang saya jangkakan meskipun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beliau memberitahu lagi, keserasian dalam pasukan juga amat penting dan ia sudah dapat dilihat menerusi corak persembahan menerusi dua perlawanan persahabatan tersebut.
“Selain hormat, mereka telah mencipta hubungan yang amat baik dan lancar dengan saya. Inilah kesannya yang kita nampak dan yang mereka inginkan.
“Dalam masa singkat juga, dua perlawanan sudah melepasi satu gol. Ini adalah petanda yang baik. Di perlawanan persahabatan inilah kita nampk ruang-ruang yg perlu diperbaiki,” ujarnya lagi.
Justeru, Zainal mengharapkan pasukannya itu berjaya mengekalkan rentak kecemerlangan berganda pada aksi perlawanan Liga Super yang akan bermula pada 18 Jun menentang Petaling Jaya City (PJ City). – KOSMO! ONLINE