fbpx

Kelantan sedia dana RM55.38 juta bina rumah rakyat, asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad (empat dari diri) melawat pameran projek perumahan selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyediakan dana sebanyak RM 55.38 juta untuk membangunkan projek perumahan rakyat dan rumah keluarga asnaf atau rumah dhuafa’ pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, mengikut perancangan, sebanyak 272 unit rumah dhuafa’ dibina pada tahun ini dengan dana sebanyak RM22.35 juta berbanding RM10.76 juta untuk tahun lalu.

Menurutnya, melalui projek rumah asnaf itu, setiap wakil rakyat akan mendapat enam buah rumah sebelum ia akan diserahkan kepada penerima yang layak dengan nilai RM55,000 untuk sebuah rumah.

“Melalui peruntukan terbabit, kita turut memperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi projek membaik pulih rumah.

“Kerajaan negeri Kelantan sedia membantu golongan yang memerlukan dengan syarat penerima perlu ada tanah sendiri, tanah milik ibu bapa atau saudara mara mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Pemilikan Rumah Negeri Kelantan di Mydin Mall Tunjong di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Kelantan (Rehda), Muhammad Amir Bakhtiar Yusoff dan Timbalan Pengerusi Rehda, Datuk Samsuri Awang Mat.

Sementara itu, Muhammad Amir Bakhtiar berkata, sebanyak 40 pemaju di Kelantan telah berdaftar dengan pihaknya ketika ini.

“Kita sedang berusaha mengumpul pemaju dan pihak kewangan supaya dapat memberi informasi kepada rakyat untuk mendapatkan maklumat mengenai harga, tawaran selain jualan rumah mampu milik bernilai RM 300,000.

“Perkara ini merupakan usaha yang baik dan mampu dijadikan panduan agar pembeli tidak mudah tertipu dengan taktik sesetengah pemaju yang menawarkan harga rumah yang murah sehingga ia tidak masuk akal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI