PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan cacar monyet atau monkeypox ke negara ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara pelan strategik yang dilancarkan termasuk memperkenal tatacara pengesanan dan notifikasi kes serta pengambilan sampel.
Beliau berkata, siasatan dan pengurusan kes serta kontak rapat serta pemantauan di pintu masuk antarabangsa seperti lapangan terbang turut dilakukan
“Malah, bermula 27 Mei lalu, KKM juga telah menambah ‘Health Alert’ cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera.
“Health Alert itu adalah sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri jika ada apa-apa simptom berkaitan cacar monyet,” katanya menerusi aplikasi TikTok semalam.
Katanya, beliau juga menasihatkan warga tempatan yang sedang melancong di luar negara terutama negara yang ada cacar monyet supaya sentiasa berwaspada.
Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini tiada kes cacar monyet dilaporkan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE