fbpx

Bon Odori: JAIS dititah tidak sekat program, turun lihat sendiri program

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Festival Bon Ondori

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program Festival Program Bon Odori dari terus dijalankan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam, 16 Julai depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Sharafuddin juga menitahkan agar tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.

Katanya, titah itu dimaklumkan selepas beliau menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan pada hari ini, kira-kira pukul 2.30 petang tadi bagi membincangkan mengenai program tersebut.

“Baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Sultan Sharafuddin berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd. Shahzihan, baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Untuk bersikap adil dalam membuat keputusan dan menentukan sesuatu kedudukan, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor khususnya, baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau, Sultan Sharafuddin telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam,melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Selangor,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kerajaan negeri akan merujuk dengan pihak berkuasa dan pengkaji berkaitan isu penganjuran festival Bon Odori.

Sebelum ini, umat Islam dinasihatkan tidak menyertai program yang bertentangan dengan hukum syarak Islam termasuk festival Bon Odori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI