fbpx

Ain Edruce tidak kisah dilabel terkinja-kinja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIN EDRUCE

AKSI lincah dan gaya spontan pengacara dan pelakon cantik ini tidak pernah surut walaupun sudah bergelar seorang ibu.

Pemilik nama pentas Ain Edruce itu lebih selesa menjadi diri sendiri yang sememangnya cukup dikenali dengan perangai ‘gila-gila’.

Dalam bidang pengacaraan, Ain kini antara pengacara wanita terlaris, bersaing rapat dengan beberapa nama lain, termasuk Sherry Alhadad.

Gaya penyampaiannya yang bersahaja dan ceria mudah menghidupkan suasana.

KETIKA bekerja, Ain tidak kisah dilabel ‘terkinja-kinja’ oleh netizen kerana tahu tentang batas diri sebagai isteri dan juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Murah rezeki

Berada pada tahap dikenali ramai seperti sekarang bukanlah suatu perkara yang mudah. Sama seperti mana-mana pemain industri lain, pengacara bersuara serak basah itu juga bermula daripada bawah.

“Ramai ingat saya berada pada tahap hari ini, dikenali ramai dengan jalan mudah. Daripada seorang pesohor media sosial dan terus terjun dalam bidang pengacaraan.

“Saya sebenarnya sudah bertapak dalam industri sejak 2012 lagi dengan bermula daripada bawah dan bukannya secara jalan pintas,” katanya.

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia pengacaraan, nama Ain semakin melonjak dan dikenali sebagai antara pengacara wanita verstail yang mendapat tempat di hati penonton.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun dalam industri, rezeki saya semakin murah. Orang sudah mula kenal siapa Ain Edruce,” jelasnya.

Kata Ain lagi, dia sebenarnya turut menyimpan impian untuk memiliki sebuah program berbentuk bual bicara sendiri yang santai dan menghiburkan.

Sesuai dengan perwatakan dirinya, Ain lebih selesa mengacarakan program berbentuk santai berbanding program yang terikat dengan penulisan skrip.

“Saya bukannya tidak boleh mengacara rancangan berbentuk kewanitaan yang lemah lembut, tapi itu bukan jiwa saya. Lagipun orang tahu perangai saya yang gila-gila.

“Sebelum ini saya pernah jadi pengacara untuk program Tumit Tinggi siaran RTM, tapi saya rasa tidak puas sebab penyampaian yang terikat dengan skrip. Tapi saya seronok juga jadi pengacara untuk program sebegitu,” katanya.

BERGANDINGAN dengan pengacara senior, Datuk Aznil Nawawi membuatkan Ain teruja dan pada masa sama seronok bekerjasama dengannya.

Kagumi Pak Nil

Disoal idolanya dalam bidang pengacaraan, Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce, 31, tanpa berfikir panjang, nama Datuk Aznil Nawawi terbutir di bibir.

Kata Ain, peluang bekerjasama dengan Aznil untuk program Karaoke Superstar dalam saluran Astro merupakan satu peluang keemasan yang sudah lama dinanti-nantikan.

“Tipulah kalau tidak berdebar. Pak Nil (panggilan untuk Aznil) merupakan seorang pengacara legenda.

“Siapalah saya? Sebelum ini kami pernah bekerjasama untuk sebuah rancangan bernama Kamera Apo?

“Saya memang kagumi Pak Nil. Walaupun luaran dia nampak garang, tapi Pak Nil membuatkan saya jadi lebih bersemangat ketika sama-sama berada di atas pentas,” jelasnya.

Jelas Ain lagi, peluang bekerjasama dengan figura berusia 59 tahun itu menghadirkan rasa selesa dan seronok.

Bagi Ain, banyak perkara dipelajari daripada bekas pengacara program Melodi itu ketika di atas pentas.

“Bersama Pak Nil, saya tidak banyak tanya soalan, tetapi saya lebih kepada memerhati. Bersama Pak Nil, saya belajar bagaimana untuk kelihatan yakin di hadapan kamera ketika mengacara.

“Saya bukan mahu kata pengacara lain tidak bagus. Cuma dengan Pak Nil, saya dapat rasakan auranya sebagai pengacara yang disegani. Rasa seronok dan puas,” katanya.

Selepas beberapa tahun berehat seketika daripada dunia lakonan, Ain juga mengakui rindu untuk kembali ke set penggambaran, namun terpaksa menyimpan niat tersebut demi memikirkan anaknya, Soraya yang baru berusia setahun.

BUAT masa ini, Ain masih menolak sebarang projek lakonan kerana mahu memberi sepenuh perhatian terhadap anaknya, Soraya yang masih kecil. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Cahaya mata

Kata selebriti tinggi lampai itu, sehingga kini dia masih menerima banyak tawaran untuk berlakon, namun terpaksa menolaknya kerana belum boleh meninggalkan Soraya dalam tempoh yang lama.

“Saya sudah tidak lagi berlakon sejak hamilkan Soraya, kemudian negara terikat pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Alhamdulillah, tawaran itu masih ada, namun saya terpaksa menolaknya.

“Usia anak masih kecil. Tunggulah sehingga besar sikit sekurang-kurangnya dua tahun. Saya akan kembali semula berlakon,” katanya.

Tentang perancangan untuk menambah cahaya mata, Ain dan suami teringin untuk memiliki seorang lagi cahaya mata, namun bukanlah dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ain tidak menolak jika diberikan rezeki awal untuk dia bersama suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa mendapat seorang lagi zuriat.

“Saya ada perancangan untuk tambah bilangan cahaya mata, tapi bukan dalam masa terdekat.

“Namun, jika diberi rezeki awal, saya tidak menolak.

“Tahun ini mungkin tidak boleh sebab saya sudah terikat dengan beberapa projek yang sudah disusun. Suami pun tidak kata apa-apa.

“Apa yang suami cakap, sekurang-kurangnya tunggulah sehingga Soraya besar sedikit. Lagi pun suami juga bimbang untuk membahagikan kasih sayang antara Soraya dengan adiknya nanti,” kata Ain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI