PETALING JAYA – Sebuah perkongsian tular di laman Facebook apabila seorang individu berkongsi kuih seri muka yang dibelinya dalam keadaan yang terlalu nipis.
Dalam perkongsian tersebut, pemuda yang dikenali sebagai Syah Indra mendakwa, dirinya seolah-olah ditipu apabila kuih seri muka yang kelihatan isinya lebih kecil daripada kebiasaan.
Perkongsian itu tular setelah mendapat reaksi daripada orang ramai di media sosial.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai tidak berpuas hati dengan harga kuih-muih yang semakin ‘cekik darah’.
“Barang dah naik harga. Nak buat seri muka ni banyak prosesnya. Peniaga tolak pada kedai berapa sen saja untung. Untung tak besar mana,” komen Yus Yusof.
“Tahu la harga barang naik semua tak dapat nak elak. Satu dunia tengah menghadapi masalah ini. Faham sangat kalau nak naikkan harga tapi takkan saiz dan kualiti nak turun pula,” luah Norzalina Zaharin.
Sementara itu, seorang peniaga kuih yang dikenali sebagai Imah Akmal turut kesal dengan sikap segelintir pelanggan yang suka mengecam tanpa usul periksa.
“Saya juga seorang peniaga kuih. Sedih bila baca komen-komen kecaman yang tak tahu berapa harga kuih seri muka yang dijual,” katanya. – KOSMO! ONLINE.