fbpx

Pulau Pinang kekurangan bekalan telur ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Pembekal telur ayam di negeri ini sekali lagi dihimpit kebimbangan apabila bekalan barangan keperluan itu didakwa berkurangan sehingga 60 peratus sejak dua minggu lalu.

Masalah yang berlaku menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa mengehadkan jumlah tempahan harian selain melakukan penghantaran secara berperingkat.

Pembekal juga dikatakan terpaksa mendahulukan tempahan untuk kegunaan ha­rian terutama kepada peruncit di pasar awam dan pengusaha restoran.

Seorang pembekal yang mahu dikenali sebagai Zul, 42, berkata, kekurangan bekalan keperluan utama itu di peringkat pembekal adalah melibatkan telur ayam Gred A, B, C dan D.

Katanya, bekalan yang diperoleh setakat ini hanya mencukupi untuk kegunaan harian, manakala pengedaran kepada pengusaha kek kini terpaksa dilakukan secara bergilir-gilir.

“Saya tidak dapat penuhi permintaan sepenuhnya daripada pelanggan terutama peruncit di pasar dan pengusaha restoran nasi kandar. Tempahan yang diminta tidak akan dihantar mengikut jumlah permintaan harian.

“Keadaan ini dipercayai berlaku di peringkat penternak atau peladang susulan isu kekurangan bekalan ayam standard di pasaran tempatan ketika ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang peniaga runcit, Abdul Rahman Ahmad, 72, berkata, dia mengambil pendekatan dengan menjual hanya telur ayam bersaiz kecil pada harga RM3 bagi setiap 10 biji.

“Harga telur ayam kini naik turun di peringkat pembekal. Saya tiada pilihan terpaksa jual telur ayam bersaiz sa­ngat kecil, tidak pasti gred sebenarnya,” jelasnya.

Tinjauan Kosmo! di sebuah pasar mini di Bayan Lepas mendapati, bekalan telur ayam Gred A dan B mula dihantar pihak pembekal bermula kelmarin setelah lebih seminggu rak barangan itu ditinggalkan kosong.

Harga pasaran telur ayam ketika ini masih ditetapkan mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi Gred A, 41 sen (Gred B) dan 39 sen (Gred C). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI