fbpx

Pengecualian cukai jualan kenderaan tidak perlu dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengecualian cukai jualan kenderaan telah berjaya meningkatkan permintaan dalam pasaran. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan perlu kekal kepada pelan asal dan tidak melanjutkan pengecua­lian cukai jualan kenderaan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, kerajaan sepatutnya mengalihkan fokus mereka untuk memberi insentif yang membantu menyelesaikan masalah sekarang, mi­salnya kesesakan jalan raya dan pencemaran udara yang turut disumbangkan oleh jumlah ken­deraan yang terlalu banyak.

“Bagaimanapun harga insentif pengecualian cukai jualan itu mungkin boleh dikekalkan untuk pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum 30 Jun ini, kerana kelewatan mendapat kenderaan bukan salah mereka.

“Pada masa sama, tempoh maksimum perlu ditetapkan kepada syarikat pengeluar kende­raan untuk mendapatkan harga insentif. Tidak wajar sekiranya mereka beroleh tempoh yang terlalu lama,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2022 mengumumkan lanjutan pengecualian cukai jualan kereta ke atas semua kenderaan penumpang sehingga 30 Jun ini bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

GAMBAR HIASAN

Ia melibatkan pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasa­ngan tempatan (CKD), manakala pengecualian cukai jualan seba­nyak 50 peratus dikenakan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU).

Pengecualian cukai berkenaan dilihat telah merendahkan harga jualan kenderaan daripada sekitar RM700 buat model kereta marhaen, sehinggalah kepada lebih RM10,000 buat kenderaan mewah.

Hezeri berkata, dalam tempoh berkenaan, ia dilihat memberi impak yang lebih kepada pembeli marhaen serta penawaran va­rian yang pelbagai oleh pengeluar ken­deraan agar dapat memberi pilihan kepada mereka untuk mendapatkan va­rian lebih rendah sekiranya tidak mampu.

Pandangan tersebut turut disokong Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff yang menerangkan bahawa, pasaran kini harus ditentukan oleh permintaan dan penawaran tanpa intervensi da­ripada kerajaan lagi.

“Saya juga melihat meskipun pengecualian cukai jualan ini tidak dilanjutkan, ia sekali gus tidak akan memberi impak ketara kepada jualan kerana permintaan pasaran sekarang dilihat cukup tinggi sehingga tidak mampu dipenuhi oleh penge­luar,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI