CARDIFF – Tonggak sensasi Wales, Gareth Bale mengetuai rakan sepasukannya untuk mencipta sejarah baharu bola sepak negara itu apabila layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun.
Kapten Wales itu muncul sebagai pencetus kepada jaringan tunggal perlawanan untuk mengecewakan Ukraine 1-0 pada aksi playoff di Stadium Cardiff City awal pagi semalam.
Usaha pemain lawan, Andriy Yarmolenko untuk mengeluarkan bola hasil sepakan percuma Bale menjadi detik mengecewakan Ukraine apabila tandukannya menerjah ke gawang sendiri.
“Ia adalah keputusan terbaik dalam sejarah bola sepak Wales. Kami sangat gembira untuk layak ke Piala Dunia dan impian sudah pun menjadi kenyataan. Inilah yang kami sedang usahakan sejak kami pertama dikumpulkan.
“Saya hilang kata-kata dan kami lakukan semua ini untuk peminat serta negara kami. Semua orang tahu saya tidak dapat bermain dengan cukup untuk tempoh empat minggu terakhir.
“Begitu mengujakan apabila dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan dan paling penting dapat layak ke Piala Dunia. Tiada kata-kata yang boleh gambarkan perasaan kami sekarang,” kata Bale.
Kemaraan Wales ke pusingan akhir Piala Dunia menyaksikan The Dragons bakal menghuni Kumpulan B bersama England, Iran dan Amerika Syarikat.
Ketika Wales meraikan kejayaan ini, hasrat Ukraine untuk menghadirkan kegembiraan buat rakyat negara itu lebur dalam sekelip mata dan bintangnya, Oleksandr Zinchenko segera tampil dengan permohonan maaf.
“Penjaga gol Wales (Wayne Hennessey) cukup cemerlang, namun saya tidak fikir kami patut tewas. Bola sepak adalah permainan penuh emosi, kami gagal menghadirkan keputusan yang dimahukan para penyokong,” jelasnya. – AGENSI