SEREMBAN – Seorang pegawai penyelidik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal di Jalan ‘New Zealand Malaysia’ pada 1 Jun lalu.
Tertuduh, Munirah Stapah@Salleh, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Intan Syafinaz Roslin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu kereta Perodua Axia didapati telah memandu secara melulu atau dengan kelajuan serta mengambil kira keadaan lalu lintas adalah merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd. Isa, 72.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Temiang-Pantai di sini atau lebih dikenali Jalan ‘New Zealand Malaysia pada pukul 8.25 pagi, 1 Jun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 dan boleh juga dipenjara antara lima hingga 10 tahun.
Pada prosiding kes, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan, M. Shanmugavel meminta mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dan menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.
Munirah yang tidak diwakili peguam kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan suaminya bekerja di negeri lain serta dia masih menyusukan seorang anak kecil.
Pada 1 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta Perodua Axia dalam kejadian di Jalan Temiang-Pantai di sini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. -KOSMO! ONLINE