fbpx

Pemandu mabuk rempuh pasangan OKU direman empat hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang berusia 24 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan.

MELAKA – Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) terbunuh di Jalan Serkam Pantai, Jasin semalam direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 10 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nabihah Mohd. Noor terhadap pemuda berusia 24 tahun itu. Reman itu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diriingi pegawai dan anggota polis pada pukul 9.50 pagi dan proses permohonan reman selesai kira-kira satu jam kemudian.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki berkata, suspek telah ditahan kira-kira pukul 7.50 pagi semalam di Hospital Jasin.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai enam rekod saman membabitkan kesalahan lalu lintas.

“Kita masih menunggu laporan perubatan ujian alkohol daripada pihak hospital yang dijangkan akan diperolehi dalam tempoh tujuh hari lagi,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sepasang suami isteri OKU (pendengaran dan percakapan) maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI