PETALING JAYA – Kes penipuan di negara ini semakin menjadi-jadi dan dapat dilihat golongan ‘penipu’ lebih berani bertindak secara terang-terangan demi keuntungan diri sendiri.
Situasi itu sama seperti rakaman yang dimuat naik pengguna media sosial, Huda Nadiah yang memaparkan gelagat pasangan warga asing dilihat menipu pengunjung di sebuah pusat beli belah di Pahang.
Menurut Huda, dia mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mudah mempercayai individu tersebut dan pelbagai alasan sama yang akan digunakan mereka berdua untuk meraih simpati.
“Kalau nampak orang macam ini yang mengaku dirinya dari Pakistan, beg tangan isteri hilang, nak makan tak ada duit, jangan dilayan.
“Sebab aku dengan keluarga aku dah kena, mereka berdua ini ada dua kumpulan yang sama macam dalam video ini, pakaian pun sama sahaja, ayat mereka cakap pun sama, mujur cepat sedar dengan tipu helah mereka, hati-hati semua,” pesannya.
Perkongsian tersebut telah menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ada juga pengguna lain turut berkongsi pengalaman sama bertemu dengan individu terbabit.
“Saya pun pernah jumpa mereka dekat pusat beli belah terkenal di Kuala Lumpur dua hari sebelum raya, memang alasan sama dia bagi macam pengguna ini kongsikan, hati-hati semua, tahu orang Malaysia semua baik hati, tapi jangan untungkan mereka yang ‘kaki penipu’,” kongsi Raiisaa.
“Minggu lepas aku jumpat dekat Shah Alam, memang dia sasar pengunjung pusat beli-belah rasanya, bahaya, tolong tangkap mereka,” kata She pula. – KOSMO! ONLINE