fbpx

Mayat pemuda 25 tahun dijumpai di Pantai Pulau Jerejak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT pemuda berusia 25 tahun ditemui terdampar di pantai Pulau Jerejak di sini pagi tadi selepas 50 jam dilaporkan terjun dari Jambatan Pulau Pinang Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Mayat pemuda berusia 25 tahun akhirnya ditemui pagi tadi selepas 50 jam dilaporkan terjun dari Kilometer (KM) 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai dekat sini Ahad lalu.

Mayat lelaki berketurunan Cina itu dijumpai terdampar oleh sekumpulan nelayan di pasir pantai berhampiran jeti lama Pulau Jerejak pada pukul 10.00 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang masuk hari ketiga ditamatkan setelah Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Pulau Pinang dimaklumkan mengenai penemuan mayat oleh pihak Bomba.

Menurutnya, mayat lelaki yang dipercayai dari Kuala Lumpur itu kemudiannya dibawa menggunakan bot pasukan bomba sukarela Bukit Bendera ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk disanitasi.

“Keluarga mangsa telahpun mengesahkan identiti mayat tersebut semasa proses pengecaman dilakukan.

“Mayat kemudian diserahkan kepada anggota di Balai Polis Sungai Nibong sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini malam ini.

Beliau memberitahu, operasi yang melibatkan empat sektor pencarian dengan keluasan 26.82 batu nautika persegi itu ditamatkan pada pukul 11.45 pagi tadi.

“Maritim Malaysia ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil langkah terburu-buru sebegini sekiranya menghadapi sebarang masalah dan rujuk pihak berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” ujarnya.

Ahad lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang lagi anak muda yang juga individu ke-17 tahun ini dan kedua bagi bulan Jun dilaporkan bertindak terjun dari jambatan pertama kira-kira pukul 8.20 pagi.

Mangsa sebelum itu dipercayai telah meninggalkan sebuah motorsikal jenis Yamaha 125ZR berwarna merah di atas jambatan berkenaan.

Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemuru­ngan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Soko­ngan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI