fbpx

Lagu meletup, Shaa cipta tular tanpa gimik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAA kini muncul dengan single ketiga berjudul Tersentak Di Dada.

PERNAH mencipta fenomena menerusi single sulung berjudul Pertama Kali pada 2017 dengan video muzik, video lirik dan video persembahan persembahan langsung mencapai tontonan luar biasa lebih daripada 40 juta dalam YouTube, penyanyi kelahiran Kuala Kedah, Kedah itu pernah juga mengulangi kejayaan membanggakan menerusi single kedua, Biar Ku Pergi (2018) dengan tontonan mencecah enam juta.

Berbekalkan kelunakan suara yang dimiliki, Shaa kini mengumpul jutaan peminat bukan sahaja dari Malaysia, bahkan di Indonesia.

Kini, penyanyi berusia 27 tahun itu kembali dengan single terbaru berjudul Tersentak Di Dada ciptaan Matthius Mambang dan Jesley Jabu serta lirik oleh Matthius Mambang.

Menariknya, lagu berkenaan merupakan rakaman semula lagu yang asal dalam bahasa Iban, Sarawak berjudul Tegepang Ba Dada nyanyian oleh Karen Libau.

Video muzik rasmi lagu asal tersebut trending dalam YouTube yang dilancarkan dua tahun lalu juga sudah pun mencapai lebih tiga juta tontonan.

“Saya percaya rakaman semula lagu ini dalam bahasa Melayu dapat beri pendedahan yang lebih meluas untuk lagu yang baik ini kepada kelompok pendengar yang baru.

“Versi asal lagu ini dalam bahasa Iban pun dah mendapat sambutan yang hebat. Apalagi jika ia dinyanyikan dalam bahasa Melayu yang boleh difahami lebih ramai pendengar.

GENTAR untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi lain dalam sesebuah program pertandingan nyanyian, Shaa bagaimanapun pernah terdetik untuk merasai pengalaman sebegitu jika ada rezeki suatu hari nanti.

Perbandingan

“Genre lagu baru ini juga seacuan dengan lagu-lagu jiwang yang saya rakam sebelum ini seperti Pertama Kali dan Biar Ku Pergi. Jadi, saya percaya peminat boleh menerima single baharu ini dengan baik,” kata pemilik nama sebenar Juzratul Nisha Johari itu.

Apabila seseorang artis merakam semula sesebuah lagu, mereka tidak dapat lari daripada perbandingan antara versi baharu dan versi asal.

“Sudah pasti perbandingan akan dibuat pendengar antara versi lama dan versi asal lagu. Juga antara saya dan penyanyi asal, Karen Libau.

“Itu menjadi kebiasaan. Bagi saya setiap versi mempunyai kekuatan. Pendengar boleh menilaikannya sendiri. Versi baharu ini bukan sahaja berbeza dari segi bahasa tapi juga dari segi susunan muzik yang memberikannya suntikan nafas yang baru.”

Sedar gimik dan kontroversi tidak boleh dipisahkan dalam kerjaya seseorang artis, Shaa bagaimanapun seboleh-bolehnya tidak mahu terkait dengan sebarang isu terutama dalam mempromosikan lagu terbaharunya itu

“Saya tak suka gimik atau tular semata-mata untuk menaikkan nama walaupun ada segelintir yang mengambil pendekatan sebegitu.

“Sebab saya lebih suka dengan cara orang menyukai lagu bukan gimik atau perkara-perkara sebegitu.”

“Cukuplah orang lebih sukakan suara dan lagu saya. Kalau dengan cara itu, nama akan naik dengan lebih elok. Maksudnya saya lebih sukakan cara promosi tersendiri.

Cuma tidak menggunakan gimik atau video tular.

“Pendek kata, biarlah orang mengenali saya dengan suara dan bakat sendiri. Bagi lagu Tersentak Di Dada ini, mungkin kita dapat gunakan sebaiknya media sosial seperti TikTok dan Facebook.

“Sebelum ini, rakaman secara live lagu Pertama Kali yang dimuat naik ke TikTok berjaya mempopularkan semula lagu ini,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Tersentak Di Dada, Shaa berkata proses rakaman lagu berkenaan agak mencabar.

“Pengalaman merakam lagu ini memang sedikit mencabar sebab lirik asalnya dalam bahasa Iban. Jadi untuk ubah lirik ke bahasa Melayu perlu tukar sedikit lenggok nyanyiannya.

“Saya banyak ikut tunjuk ajar idola saya iaitu abang Eddie Hamid yang bertindak sebagai penerbit rakaman semula lagu ini. Dia banyak mengajar saya cara macam mana menyampaikan dan menjiwai sesebuah lagu. Walaupun kita sudah dengar lenggok lagu asal sebelum ini tapi kita kena ubah cara nyanyiannya agar ia menjadi lagu kita sendiri,” katanya.

SHAA kini muncul dengan single baharu, Tersentak Di Dada, sebuah lagu nyanyian semula yang asalnya didendangkan dalam bahasa Iban oleh penyanyi Sarawak, Karen Libau.

Pertandingan

Ditanya keinginannya menyertai sebarang pertandingan program realiti, Shaa sentiasa bersikap terbuka.

“Saya pernah terfikir nak masuk pertandingan realiti. Tapi saya perlu atasi perasaan takut untuk masuk rancangan televisyen. Lagi pun saya tak biasa bersaing dengan penyanyi-penyanyi lain dalam sesebuah pertandingan. Jadi buat waktu ini, saya duduk saja di tempat sendiri macam sekarang dan busking macam biasa.

“Tapi ada juga teringin di hati nak masuk. Cuma belum ada rezeki dan kesempatan lagi nak masuk. Tunggu orang panggil masuk dan saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Single terbaru Tersentak Di Dada terbitan Nova Music kini boleh didengar di semua pelantar digital, manakala siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut sudah boleh dilayari menerusi YouTube Nova Music Videos sejak 27 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI