KUALA Lumpur (KL) Wildcats berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas mencatat kemenangan 55-40 ke atas Selangor Angels malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, kedua-dua pasukan menampilkan aksi cukup menarik selain diiringi sorakan penonton, sekali gus mencetuskan aksi derbi Lembah Klang dalam saingan NSL.
Meskipun kehilangan ramai tonggak termasuk kapten, Nur Syafazliana Mohd. Ali yang berhijrah ke Johor Jewels selain ketiadaan Noramirah Dayana Noor Azhar akibat kecederaan, namun KL tetap berbisa.
Pemain tengah (C) KL, Nuradila Azman berkata, semua pemain perlu mengambil tanggungjawab untuk beraksi di mana-mana posisi seperti dimahukan jurulatih, Norizan Rajab bagi menampung ketiadaan pemain-pemain tonggak musim lalu.
“Walaupun kehilangan ramai pemain tonggak bagi saingan musim ini, namun ia tidak menjadi masalah buat KL. Terasa kehilangan itu tetap ada, tetapi kami perlu berikan segala-galanya untuk kekalkan kejuaraan.
“Memang jurulatih mahu pemain yang boleh bermain lebih daripada satu posisi. Oleh sebab itu, kami semua perlu bersedia untuk bermain mengikut perancangan yang ditetapkan jurulatih,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang Selangor, Nuradila mengakui perlawanan itu sangat sukar memandangkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selain turut dipengaruhi sorakan penonton di luar gelanggang.
“Memang perlawanan malam ini (kelmarin) sangat sengit dan kami hanya cuba pastikan setiap percubaan menghasilkan jaringan serta sedaya upaya mematahkan serangan mereka.
“Betul KL masih belum tewas, tetapi kami tidak boleh terlalu gembira dan selesa kerana pasukan-pasukan yang bertanding pada musim ini memiliki kemampuan untuk melakar kejutan,” ujarnya.