JOHOR Jewels terus menghidupkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas membenam cabaran Perak Phoenix 66-42 di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.
Goal shooter (GS) kebangsaan, An Najwa Azizan terus menjadi sandaran utama pasukan dari Selatan tanah air itu apabila berjaya melakukan 54 jaringan daripada 55 percubaan yang dilakukan.
Walaupun berjaya mencatat kemenangan dengan perbezaan jaringan agak besar, namun pemain import dari Sri Lanka, Gayani Samanthika menganggap Perak adalah pasukan paling sukar yang dihadapi setakat ini.
“Saya gembira kami menang pada perlawanan malam ini (kelmarin), tetapi saya puji corak permainan yang ditunjukkan Perak sepanjang pertemuan tersebut. Mereka bermain sangat baik dan mampu berikan tentangan.
“Apa yang pasti, mereka adalah pasukan yang paling sukar kami hadapi dalam saingan NSL setakat ini. Mereka sudah lakukan yang baik ketika bertemu Johor Jewels,” katanya.
Pada masa sama, pemain yang memiliki ketinggian 1.86 meter itu melaungkan keyakinan skuad kendalian Fazira Mesnan mampu untuk merampas gelaran juara NSL pada saingan musim ini.
“Ini adalah kali pertama saya datang bermain di Malaysia, jadi saya sangat gembira dan mahu kumpul kenangan manis di sini. Buat masa ini, saya yakin kami mampu untuk muncul juara NSL 2022.
“Saya kata begitu kerana kami memiliki penyerang terbaik Malaysia (An Najwa) dalam pasukan. Selain itu, kami juga sentiasa memiliki perancangan terbaik apabila turun dalam setiap perlawanan,” ujarnya yang juga merupakan pegawai bank.