BARU-BARU ini kecoh di laman media sosial tentang tindakan sebuah badan penguatkuasaan menyita beberapa buah skuter elektrik yang beroperasi secara terbuka di ibu negara.
Beberapa kenyataan berunsur kecaman turut diberikan oleh netizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai mengganggu aktiviti riadah warga kota bersama keluarga terutamanya di hujung minggu.
Bagaimanapun, jika dinilai semula rungutan-rungutan itu, jelas kelihatan bahawa masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang memandang ringan tentang isu keselamatan jalan raya serta fungsi sebenar kemudahan itu disediakan.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, jalan raya bukanlah lokasi untuk beriadah, malah ia patut dielakkan sama sekali untuk aktiviti sebegitu.
“Jalan raya merupakan milik awam yang digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan, malah tindakan untuk menjadikannya sebagai lokasi riadah bukanlah satu tindakan bijak dan boleh mengundang nahas.
“Malah, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga telah mengumumkan larangan serta-merta penggunaan kenderaan mikromobiliti termasuklah skuter elektrik di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ujar beliau, sitaan oleh badan penguatkuasaan itu juga adalah tindakan tepat memandangkan kenderaan tersebut disewakan kepada umum tanpa mengambil kira keselamatan awam.
Mengulas mengenai tahap kesedaran keselamatan jalan raya, Teik Hua menyifatkan rakyat Malaysia sebagai bersikap terlalu positif sehingga sering beranggapan bahawa kemalangan tidak akan berlaku ke atas mereka atau keluarga mereka.
“Sering kali apabila berlaku kemalangan, pelbagai alasan diberikan walaupun ia terjadi akibat kecuaian sendiri lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak kecil yang tidak peka dengan keselamatan jalan raya.
“Ibu bapa harus memainkan peranan yang penting, malah kerajaan juga perlu lebih tegas dalam mengenakan tindakan ke atas ibu bapa yang cuai serta membiarkan anak-anak mereka bebas bermain di atas jalan raya,” tegas beliau.
Pada 26 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, telah mengumumkan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti seperti moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) serta Personal Mobiliti Aids (PMA).
Beliau berkata, penggunaan basikal bagaimanapun tidak dilarang, namun ia hendaklah mematuhi semua peraturan yang sudah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Penggunaan kenderaan mikromobiliti menerusi percampuran dengan aliran trafik bersama kenderaan lain di jalan raya akan menimbulkan risiko berlakunya tragedi sama seperti nahas basikal lajak yang meragut nyawa lapan kanak-kanak sebelum ini.
“Mana-mana individu yang menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 seperti telah diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” tegas beliau.
Rakyat Malaysia seharusnya peka tentang keselamatan di jalan raya dan memahami bahawa setiap aktiviti yang ingin dilakukan perlu ada lokasi yang bersesuaian agar tidak berlaku sebarang tragedi yang akan disesali di kemudian hari. -KOSMO! ONLINE