fbpx

Galak pengusaha makanan di rumah daftar KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin (empat, kanan) menyempurnakan Flag-Off penghantar makanan pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Pengusaha makanan di rumah digalakkan untuk mendaftar perniagaan mereka di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dengan mendaftar perniagaan tersebut dibawah KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), pengusaha perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kementerian itu.

“Ia tidak wajib dan mereka yang memohon, perlu menepati protokol keselamatan dan kualiti makanan termasuk dari segi penyediaan, persekitaran dan penghantaran.

“Sebagai contoh mengambil suntikan typhoid dan ia seperti mana di restoran. Kita akan senaraikan pengusaha ini di dalam senarai pengusaha serta dipaparkan pada laman web KKM,” katanya pada sidang akbar sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun permohonan pendaftaran dengan KKM melibatkan pengusaha makanan di rumah adalah tidak diwajibkan.

“Kita masih sukarela kerana tidak mahu menjadi penghalang kepada peniaga kecil dan mikro untuk memulakan perniagaan. Kita harap pelanggan akan buat keputusan bijak.

“Bukan kita kata tiada senarai KKM, makanan itu tidak selamat. Jika berdaftar dan disenaraikan, ia terjamin,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, lebih banyak permintaan pembelian makanan melalui platform dalam talian dan KKM bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut untuk meningkatkan kesedaran mengenai kualiti dan keselamatan dalam kalangan vendor dan pengusaha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI