BARCELONA – Pelumba utama pasukan Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kejuaraan dunia Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas mendominasi Grand Prix (GP) Catalunya kelmarin.
Pada perlumbaan tersebut, Quartararo yang memulakan perlumbaan di petak ketiga berjaya mempamerkan kelas tersendiri di awal saingan dengan memintas pendahulu, Aleix Espargaro dan Francesco Bagnaia di selekoh pertama.
Kesempatan tersebut menyaksikan Quartararo mudah mendominasi perlumbaan sehingga penghujung saingan dengan dua pelumba Pramac, Jorge Martin dan Johann Zarco melengkapkan kedudukan podium.
Quartararo juara dunia musim lepas berkata, jentera yang dibekalkan oleh pasukan kali ini cukup ampuh sehingga memudahkan usahanya untuk mendominasi perlumbaan seawal selekoh yang pertama.
“Saya cukup bersedia daripada awal perlumbaan dan strategi saya untuk memintas Espargaro dan Bagnaia pada selekoh pertama menjadi.
Selepas itu segalanya lebih mudah dan saya tahu litar di sini sesuai dengan corak tunggangan saya,” katanya.
Sementara itu, Zarco mengakui lega apabila dapat memintas kedudukan podium selepas Espargaro melakukan kesilapan di penghujung perlumbaan dengan meraikan terlalu awal ketika saingan masih berbaki satu pusingan.
“Saya hanya mahu fokus pada perlumbaan dan nasib baik saya menyedari Espargaro tersilap langkah selepas meraikan perlumbaan terlalu awal dan saya terus memecut laju dalam usaha meraih kedudukan podium,” katanya. – AGENSI