fbpx

‘Dikenenkan’, lokasi filem temukan Fify Azmi dengan calon suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIFY memaklumkan jodoh dengan Nafiez Zaidi sememangnya tiada dan mendoakan yang terbaik buat aktor itu pada masa hadapan.

PETALING JAYA – Pelakon Fify Azmi tidak menyangka usikan rakan artis yang ‘menjodohkannya’ dengan teman gandingan dalam filem Ada Hantu 2, Nafiez Zaidi bakal  menjadi realiti.

Bermula dengan usik-mengusik di lokasi penggambaran sekitar Disember tahun lalu, hubungan percintaan Fify dan Nafiez kini menghampir fasa perkahwinan apabila selesai acara merisik Sabtu lalu.

Kata Fify, kebaikan serta sikap ambil berat Nafiez mendekatkan mereka sehingga persahabatan yang tercetus di set penggambaran beralih ke fasa berkasih hanya dalam tempoh sebulan sebelum mengambil keputusan untuk lebih serius merencana masa depan berdua.

“Masa awal penggambaran filem Ada Hantu 2 itu saya cuma kenal Adrian Teh, Hairul Azreen dan Zahiril Adzim. Waktu itu mereka yang ligat ‘kenen-kenenkan’ (padankan) kami berdua. Selepas diusik kami mula rapat dan dalam tempoh sekejap saja hubungan terus serasi.

FIFY dan Nafiez bertemu cinta di lokasi penggambaran filem Ada Hantu 2.

“Dia seorang yang tidak berpura-pura dan saya yakin mampu membimbing saya kerana saya nampak Nafiez serius menjaga perhubungan kami selain mengajak saya berjumpa orang tuanya ketika saya menjalani penggambaran di Perlis beberapa bulan lalu sebagai tanda serius terhadap perhubungan kami.

“Acara merisik di kediaman orang tua saya di Subang Jaya Sabtu lalu sebenarnya lebih kepada sesi berkenalan antara kedua-dua keluarga kami. Kalau boleh Nafiez mahu terus melangsungkan perkara wajib iaitu nikah tetapi sebelum itu biarlah ibu bapa kami berkenalan dulu.

“Alhamdulillah, urusan merisik sudah disempurnakan. Kini kami dalam persediaan ke arah pernikahan yang kami harap dapat dipercepatkan. Kebetulan rezeki tawaran berlakon pula datang berturut-turut, jadi sambil ligat di lokasi penggambaran kami sama-sama buat persiapan dibantu keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, Nafiez atau nama sebenarnya, Abdul Nafis Abduzaidi berkongsi mengenai acara merisik itu menerusi Instragram Storynya dengan memaparkan gambar berempat bersama emak masing-masing.

Aktor yang menyerlah dalam drama Bunga Hati membawakan watak orang kelainan upaya (OKU) itu menyerahkan seutas gelang tangan dan rantai sebagai simbolik ikatan hubungannya dengan pemilik nama lengkap Nur Afiqah Mohamed Azmi, 32.

Nafiez memaklumkan mahu mengadakan pernikahan mereka diadakan tahun ini. Sementara itu, Fify yang kini sibuk di set penggambaran sebuah filem aksi untuk tayangan saluran penstriman mengakui tidak pernah terfikir untuk menjalin ikatan cinta dengan sesama rakan dalam industri kerana mahu menumpukan perhatian terhadap kerja.

FIFY dan Nafiez bergambar dengan ibu masing-masing selepas acara merisik Sabtu lalu.

Katanya, perkenalan dengan Nafiez hakikatnya memperlihatkan sesuatu yang positif kepadanya apabila mereka boleh bertukar pendapat dalam pelbagai perkara teruma mengenai kerjaya selain lebih serasi memandangkan masing-masing memahami situasi dan kesibukan di lokasi.

“Kebiasaannya selepas habis bekerja (penggambaran) saya akan terus balik. Di set memang ramai kawan malah ada juga beberapa pelakon lain yang boleh dikatakan agak rapat tetapi saya lebih kerap keluar dengan kawan-kawan bukan dalam industri seni.

“Apabila rapat dengan Nafiez, banyak topik kami kongsikan bersama. Sebenarnya bagus juga dijodohkan dengan pasangan sama bidang. Masing-masing mudah faham. Macam sekarang, kami sama-sama sibuk untuk siapkan banyak perkara menjelang perkahwinan.

“Apa pun, tarikhnya akan dikongsikan nanti memandangkan banyak perkara perlu diuruskan dengan teliti termasuk menyudahkan kerja penggambaran. Sama macam Nafiez, saya pun kalau boleh mengharapkan majlis kami dapat dipercepatkan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI