fbpx

Badan kanak-kanak dua tahun merah, kulit jadi mengelupas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULNASMI mendukung Muhammad Izzat yang mengalami masalah kulit ketika ditemui dirumahnya di Keda Batu 13, Pokok Sena kelmarin.

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terpaksa menanggung pen­deritaan pada usia muda akibat mengalami penyakit psoriasis pustular yang menyebabkan seluruh badan menjadi kemerahan selain kulitnya mengelupas.

Lebih menyedihkan apabila penyakit itu akan menjadi teruk menjelang malam menyebabkan Muhammad Izzat Rafael Zulnazmi terpaksa menanggung rasa gatal dan tidak dapat tidur terutamanya ketika suhu badan menjadi panas.

Menurut ibunya, Fatin Suhana Mohd Zamri, 26, penyakit kulit tersebut dialami anak kedua dari­pada dua beradik itu sejak dia berusia sebulan.

“Dia tidak boleh terkena cuaca panas kerana akan cepat berpeluh. Jika berpeluh badannya akan menjadi kemerah-merahan dan berbiji-biji. Muhammad Izzat Rafael akan merengek sebab kegatalan.

“Setiap hari badannya perlu disapu dengan krim pelembab bagi mengelakkan kulit menjadi kering.

“Bila kering, kulitnya pula akan menjadi keras dan mudah berdarah,” katanya ketika ditemui di Keda Batu 13, Pokok Sena dekat sini kelmarin.

Fatin berkata, doktor menjelaskan penyakit kulit tersebut adalah penyakit genetik, namun dia mendapati tiada seorangpun daripada keturunan sebelah­nya atau suami yang mengalami masalah tersebut.

Menurutnya, anak sulungnya berusia lima tahun pula tidak mengalami masalah kulit tersebut dan boleh ke sekolah seperti biasa.

“Pelbagai jenis rawatan telah dilakukan termasuk kaedah moden, tradisional dan Islam, namun masalah kulit anak saya tetap sama sejak lebih setahun lalu.

“Saya pernah mendapat rawatan perubatan Islam tahun lepas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan memang berkesan selama tiga hari, namun selepas itu jadi balik,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan kos rawatan yang mencecah RM800 sekali sesi, ia memberikan beban kepada suaminya, Zulnazmi Che Ismail, 28 yang bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Menurutnya, anaknya kini bergantung kepada ubat dan pelembab yang diambil di klinik swasta dengan kos RM500 sebulan.

Bagi sesiapa yang mahu membantu Muhammad Izzat Rafael boleh menghubungi Fatin di talian 013706 6858. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI