PETALING JAYA – Sikap sesetengah individu yang gemar menggunakan minyak masak secara berulang dilihat mengundang risiko bahaya berikutan mampu menghidapi penyakit atherosclerosis atau salur darah tersumbat.
Mendedahkan perkara itu, seorang pakar perubatan dikenali sebagai Dr. Samhan berkata, antara penyakit lain yang boleh dihidapi penggunaan sedemikian termasuklah kegagalan fungsi hati, jantung, Alzheimer, Parkinson serta kanser.
“Keadaan itu berikutan ketika menggoreng minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang akan tertinggal di dalam kuali. Makanan yang digoreng menggunakan minyak masak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik itu.
“Kebanyakan kita tidak membuang minyak yang telah digunakan dan menggunakannya untuk beberapa kali sebelum dibuang,” ciapnya dalam satu hantaran Twitter semalam.
Dr. Samhan turut menasihati orang ramai agar menggunakan minyak masak sehingga maksimum tiga kali sahaja serta terus membuangnya jika warnanya bertukar hitam.
“Minyak sisa menggoreng haiwan yang berdarah seperti ayam, ikan atau daging seeloknya tidak digunakan semula dan terus dibuang kerana darah haiwan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemak yang berbahaya kepada kesihatan.
“Selain itu, hati-hati menggunakan minyak masak paket juga kerana kajian menunjukkan ia tidak sihat mengikut piawaian ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia,” jelasnya.
Ciapan tersebut mendapat lebih 4,900 tanda suka selain diulang ciap sebanyak 4,452 kali.
Sementara itu, netizen turut memberikan pelbagai reaksi terhadap hantaran tersebut selain mahu golongan peniaga mengetahui lebih lanjut mengenai risiko bahaya penggunaan secara berulang minyak masak.
“Tak faham yang mahu suruh guna tepung jagung untuk jernihkan semula minyak, kualiti minyak sudah tidak sama dan berbahaya,” jelas Akafzamri.
“Dekat tempat aku kerja selagi tidak hitam pekat minyak, selagi itulah asyik ulang sahaja,” kata Amri Mustaqim. -KOSMO! ONLINE