CANBERRA – Kerajaan Australia menuduh juruterbang sebuah jet pejuang China sebagai melakukan penerbangan berbahaya kerana terbang terlalu dekat dengan sebuah pesawat milik Canberra di Laut China Selatan, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Sebuah jet pejuang China didakwa melepaskan suar dan memintas pesawat pengawasan Australia itu.
Ia kemudiannya membebaskan ‘chaff’, sejenis peranti antiradar yang mengandungi kepingan kecil aluminium dan memasuki bahagian enjin pesawat Australia itu.
Perdana Menteri Anthony Albanese berkata, pesawat pengawasan maritim Tentera Udara Diraja Australia P-8 dipintas oleh jet pejuang J-16 milik China pada 26 Mei lalu.
“Pintasan itu menyebabkan berlakunya gerakan berbahaya yang mengancam keselamatan pesawat P-8 dan krunya,” kata Albanese.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Australia dalam satu kenyataan berkata, negara itu melakukan aktiviti tinjauan maritim di Laut China Selatan sejak beberapa dekad lalu.
“Ia dilakukan menurut undang-undang antarabangsa, melaksanakan hak bagi kebebasan pelayaran dan penerbangan di perairan serta ruang udara antarabangsa,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Beijing bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen mengenai insiden itu. – Agensi