GLASGOW – Tikus di Scotland sedang dilatih untuk dihantar ke lokasi kejadian gempa bumi dengan memakai beg galas kecil supaya pasukan penyelamat dapat berkomunikasi dengan mangsa yang terselamat, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.
Setakat ini, tujuh ekor tikus telah berjaya dilatih dan ia hanya mengambil masa selama dua minggu latihan untuk mahir.
Beg galas prototaip buatan sendiri yang mengandungi mikrofon sedang digunakan untuk sesi latihan dan saintis-saintis menghantar tikus berkenaan ke lokasi serpihan gempa bumi palsu.
Beg galas yang dilengkapi mikrofon dan peralatan video serta penjejak lokasi akan dibina untuk membolehkan pasukan penyelamat berkomunikasi dengan mangsa yang terselamat ketika kejadian gempa bumi sebenar.
Projek inovatif itu sedang diusahakan oleh seorang saintis penyelidik, Dr. Donna Kean dari Glasgow.
Kean telah berpangkalan di Morogoro, Tanzania dan Afrika Timur selama setahun ketika bekerja dengan organisasi bukan bermotifkan keuntungan, APOPO dalam satu projek khas bernama Hero Rats.
Tikus berkenaan akan berpeluang bekerja di lapangan apabila dihantar ke Turki yang terdedah kepada gempa bumi untuk membantu pasukan mencari dan menyelamat, GAE. – Agensi