TANAH MERAH – Seorang penternak mengalami kerugian kira-kira RM13,000 selepas tiga ekor lembu ternakannya yang sudah ditempah pelanggan untuk ibadah korban hilang di Kampung Lalang Pepuyu di sini.
Kejadian itu disedari pemilik haiwan itu, Asran Alias, 40, kira-kira pukul 8 pagi semalam semasa datang ke kandang lembu untuk memberi makan haiwan ternakannya.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan mendapati, tiga ekor lembu jantan milik Asran hilang sebelum mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Lalang Pepuyu.
Menurutnya, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kecurian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Asran ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia akan mengira 28 ekor lembu ternakannya setiap pagi semasa memberi haiwan-haiwan itu makan dan mendapati jumlahnya kurang tiga ekor semalam.
Katanya, kesemua 28 ekor lembu termasuk tiga ekor yang hilang sudah ditempah pelanggan untuk ibadah korban.
“Saya hanya menunggu masa untuk menghantar lembu-lembu ini kepada pembeli, namun tidak menyangka tiga ekor hilang.
“Pencuri itu berani mencuri lembu saya kerana kandangnya terletak bersebelahan Balai Polis Lalang Pepuyu. Sebelum ini, sebanyak 12 ekor lembu penduduk kampung dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE