BACHOK – Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin, Semerak di sini menyasarkan hasil tuaian padi di kawasan Bachok dan Pasir Puteh sebanyak 38,057 tan metrik menjelang tahun 2025.
Pengarahnya, Rohani Jusoh berkata, sasaran itu dilihat realistik apabila IADA berjaya menuai padi sebanyak 29,796 tan metrik tahun ini sekali gus selari dengan peningkatan produktiviti daripada 3.75 tan metrik kepada 5.5 tan metrik ketika ini.
Menurutnya, peningkatan itu juga menyumbang kepada peningkatan kepada 1.7 peratus berbanding 1.3 peratus daripada pengeluaran beras negara.
“Usaha yang dijalankan untuk meningkatkan hasil tuaian padi antaranya melaksanakan projek rintis menggunakan kaedah cecair kapur bagi meningkatkan pengeluaran padi di kawasan seluas 110 hektar di Alor Ganu dan Permatang Machang di sini.
“Projek itu dilakukan selepas tahap alkali (ph) air yang rendah ekoran daripada kebanyakan tanah di negeri-negeri Pantai Timur mengandungi air sungai dan air paya bakau sekali gus menjadikan tanah berasid.
“Keadaan itu menyebabkan tanah mengandungi asid selain air berbau masam dan kelat terutamanya ketika musim kemarau. Kaedah kapur cecair mampu mengelakkan masalah tanah berasid di kawasan kendalian IADA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Peningkatan Hasil Padi IADA Kemasin di Balai Informasi Alor Ganu di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir.
Mengulas lanjut, Rohani berkata, mengikut saranan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, sebanyak 13 tan metrik hingga 22 tan metrik kapur diperlukan bagi meningkatkan ph tanah di dua kawasan kendalian seramai 60 petani itu.
Katanya, penggunaan menyembur cecair kapur itu hanya mengambil masa 48 jam untuk ia bertindak balas bagi meningkatkan kadar ph tanah dan air. – KOSMO! ONLINE