fbpx

Ramai bawa anak-anak ke pulau sempena cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PULAU Redang di Terengganu antara destinasi popular orang ramai untuk bercuti.

PETALING JAYA – Di sebalik pelbagai keluhan yang dide­ngari susulan peningkatan kos sara hidup, orang ramai tetap mengambil peluang untuk keluar melancong bersama keluarga sempena cuti panjang persekolahan yang bermula semalam.

Berdasarkan tinjauan Kos­mo!, beberapa lebuh raya utama terutama menghala ke Pantai Timur dan Utara mula dipenuhi ken­deraan sejak Jumaat lalu dengan destinasi pulau di Terengganu dan Langkawi serta tempat makanan menarik di Pulau Pinang paling ramai dikunjungi.

Suasana di ibu negara juga sesak apabila orang ramai dari luar Lembah Klang turut mengambil kesempatan untuk berkunjung ke lokasi-lokasi menarik terma­suk untuk membeli belah.

Seorang pelancong, Mohd. Saiful Salami, 42, dari Miri, Sarawak berkata, dia bersyukur apabila dapat membawa isteri dan tiga anaknya untuk datang ke ibu negara bagi tujuan bercuti.

“Harga tiket kapal terbang ketika ini memang agak mahal, tetapi saya telah buat tempahan sejak penghujung tahun lalu semata-mata untuk datang ke sini.

“Kami akan berada di Kuala Lumpur selama dua hari dan merancang ke Genting Highlands selain bersiar-siar ke sekitar ibu kota,” katanya.

Di Pulau Pinang, tempahan hotel di negeri itu terutama di sepanjang pusat peranginan Batu Ferringhi di sini melonjak hampir 90 peratus sejak seminggu lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, tempahan hotel di kawasan pantai mencecah 90 peratus bermula Jumaat lalu.

“Selain itu, tempahan hotel di kawasan pusat bandar mencecah 80 peratus, manakala di kawasan Seberang Prai pula tempahan hotel turut meningkat ke 70 peratus tempahan bilik,” katanya.

TAMAN tema air menyediakan pelbagai pakej menarik buat orang ramai untuk beriadah bersama keluarga.

Menurut Tony, pemulihan ekonomi sektor perhotelan kini semakin baik selepas sempadan negara dibuka.

“Pulau Pinang penuh dengan lokasi pelancongan menarik selain memiliki sajian makanan yang digemari rakyat Malaysia,” katanya.

Di Terengganu, pengusaha bot terutama ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang seperti tidak menang tangan untuk me­layan kunjungan orang ramai yang ingin bercuti di pusat peranginan berkenaan.

Seorang ejen pelancongan dikenali Asma, 35, berkata, dia mula menerima tempahan bot, chalet dan aktiviti snorkeling sejak sebulan lalu terutama dari pelancong luar Terengganu.

“Permintaan memang sangat tinggi ketika ini. Ramai berminat mahu bercuti ke pulau memandangkan cuaca sangat baik.

“Istimewanya mereka akan datang sekeluarga termasuk anak-anak dan ini memberi petanda bahawa industri pelancongan tempatan mulai mendapat sambutan daripada orang ramai,” jelasnya.

Selain itu, lokasi menarik se­perti Pasar Besar Kedai Payang di sini turut menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan produk makanan, tekstil dan kraftangan buatan Terengganu.

Salah seorang pelancong, Mohd. Fadley Abdul Rahim, 66, dari Sungai Petani, Kedah, berkata, tempat tarikan yang banyak di Terengganu menjadikannya destinasi percutian terbaik buat mereka sekeluarga.

“Memang tidak lengkap datang ke sini tanpa singgah membeli keropok atau cenderamata di Pasar Kedai Payang. Kemudahan letak kereta juga banyak selain pemandangan cantik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI