PELUMBA Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo terus melebarkan jurang mata dalam senarai pendahulu keseluruhan selepas memastikan kejuaraan kedua musim ini apabila memenangi perlumban Grand Prix Catalunya, sebentar tadi.
Quartararo menamatkan 24 pusingan dengan catatan 40 minit 29.360 saat namun perlumbaan ini lebih terarah kepada kesilapan pelumba tuan rumah, Aleix Espargaro yang melepaskan peluang untuk naik ke podium kerana tersilap kira jumlah pusingan.
Quartararo yang memulakan perlumbaan di petak ketiga dilihat begitu bersungguh untuk untuk menjuarai GP Catalunya apabila berjaya memintas Espargaro dan pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia seawal selekoh pertama.
Selepas berjaya memimpin perlumbaan, pelumba dari Perancis itu langsung tidak melakukan kesilapan hingga memaksa Espargaro dan pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin lebih tertumpu kepada perebutan tempat kedua.
Bagaimanapun, ketika Espargaro makin hampir untuk menaiki podium sebagai naib juara, pelumba Sepanyol itu ‘menyambut’ kejayaan lebih awal kerana menjangkakan pelumbaan sudah pun tamat sekaligus menyaksikan kedudukannya jatuh ke tempat kelima.
Ketika ini, Quartararo sudah pun mengumpul 147 mata dan meletakkannya di landasan betul untuk mempertahankan kejuaraan dunia namun masih dicabar rapat oleh Espargaro dengan 125 mata. AGENSI