PARIS – Biarpun menguasai perlawanan dengan melakukan 19 percubaan, namun ia masih gagal membantu Perancis apabila tewas mengejut 1-2 kepada Denmark pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stade de France awal pagi semalam.
Lebih malang, ia adalah kekalahan pertama skuad juara dunia itu untuk tempoh 90 minit perlawanan kompetitif di halaman sendiri sejak tewas 0-1 kepada Sepanyol pada Mac 2013.
Penolong jurulatih Les Bleus, Guy Stephan menyifatkan kekalahan itu adalah disebabkan ketumpulan penyudah di bahagian serangan selepas melakukan 19 percubaan berbanding hanya lapan yang dimiliki Denmark.
Sebaliknya, Denmark masih berjaya meledak dua gol menerusi Andreas Cornelius pada minit ke-68 dan 88, manakala jaringan tunggal Perancis pula dihasilkan oleh Karim Benzema pada minit ke-51.
“Kami tahu Denmark adalah pasukan yang bagus, tetapi saya tidak mahu mencari alasan. Saya tidak menyalahkan pemain kerana kebanyakan mereka menempuhi musim yang panjang bersama kelab,” kata Stephan.
Stephan mengambil alih tugas di tepi padang menggantikan ketua jurulatih, Didier Deschamps yang masih berkabung ekoran kematian bapanya tiga hari lalu.
Deschamps pastinya ‘pening kepala’ sebaik kembali bersama pasukan hari ini disebabkan kecederaan dialami dua pemain utamanya, Kylian Mbappe dan Raphael Varane awal pagi semalam.
Ia pastinya memberikan tamparan besar kepada pengendali berusia 53 tahun itu menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah seterusnya menentang Croatia di Stadion Poljud awal pagi Selasa ini. – AGENSI