KUALA LUMPUR – Enam bintang! Itu adalah skala paling tepat untuk menggambarkan Konsert Endemik Search yang berlangsung di hadapan sekitar 1,600 penonton di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Kumpulan yang sudah menakluk industri hiburan sejak empat dekad lalu itu membuktikan legasi mereka utuh selaku legenda rock tanah air yang tiada galang ganti.
Aura ditampilkan mampu menyuntik adrenalin kepada khalayak dengan bermodalkan vokal dan mainan muzik padu sepanjang lebih dua jam beraksi.
Sudah pasti fokus peminat tegar Search tertumpu kepada vokalisnya, Amy yang sedari awal menggegarkan dewan persembahan mega tersebut dengan nuansa rock & roll seperti yang dijanjikan.
Andai melihat usianya yang hampir mencecah 64 tahun, pasti rata-rata bersetuju stamina, energi serta semangat ditunjukkan pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu memang diluar jangkaan – bagai anak muda berumur 30-an!
Sudah tentu aura luar biasa itu turut dicetuskan gabungan tiga lagi tonggak band prolifik tersebut iaitu Hillary Ang dan Man Kidal serta Nasir Daud yang turut mengajak memori penonton menelusuri melalui mesin masa kembali ke era silam.
Selain Endemik I selaku sesi pemanas, 20 seleksi lagu termasuk Pelesit Kota, Nigina, Rozana, Songsang, Gadisku, Balada Pemuzik Jalanan dan Pawana diperdengarkan dalam tempoh lebih dua jam tanpa henti.
Setiap dendangan bagai mengamit kenangan seawal kemunculan mereka bersama album Cinta Buatan Malaysia pada 1985 apabila antara seleksi dipersembahkan adalah Kejora, Isi Atau Kulit serta Balada Pemuzik Jalanan.
Paling berbekas dalam ingatan adalah ketika Amy menyampaikan lagu Gelora Cintaku daripada album Mentari Merah Di Ufuk Timur dengan penuh ‘attitude’ sehingga meremangkan bulu tengkuk.
Tidak hairan, di kerusi penonton pula bukan hanya kelihatan mereka yang membesar dengan dendangan Search malah generasi lingkungan usia 20-an turut sanggup melaburkan wang demi menyaksikan persembahan bersejarah tersebut.
Memang berbaloi pelaburan LOL Asia selaku penganjur memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi apabila setiap perincian baik dari segi bunyi dan penataan cahaya menyerlahkan impak luar biasa terhadap keseluruhan persembahan.
Tidak payah membandingkan persembahan mega ini dengan konsert penghibur lain atau luar negara kerana yang pasti Konsert Search Endemik berada dalam kelas tersendiri.
Sentuhan jurutera bunyi popular yang diterbangkan khas dari Jepun, Akira Yamauchi juga nyata sangat memuaskan hingga tidak seakan-akan tidak puas menghayati setiap dendangan serasa masa berlalu begitu pantas.
Dalam keghairahan menghiburkan ramai, sebuah lagu berjudul Hello Kawan didedikasikan buat pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad yang membuatkan Amy tidak mampu menahan sebak.
Dia dilihat sesekali menyapu air mata yang gugur ketika menyampaikan dendangan penuh bermakna tersebut hingga membuatkan penonton turut dibuai rasa sayu.
Allahyarham yang menghembuskan nafas pada 26 September 2016 berikutan komplikasi pelbagai penyakit adalah antara pengasas kumpulan berkenaan ketika ditubuhkan di Johor Bahru, Johor.
Apa pun, legasi Search pasti akan terus berbekas di sanubari sekali gus Konsert Endemik Search ini sebagai bukti depan mata mereka tiada galang ganti. – KOSMO! ONLINE