KUALA LUMPUR – Seramai 22 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di beberapa kawasan sekitar ibu negara bermula pada Jumaat lalu.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 14 hingga 59 tahun.
“Seramai 12 lelaki berusia 23 hingga 59 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol manakala seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
“Baki tangkapan melibatkan 9 lelaki berusia 14 hingga 21 tahun yang menunggang motosikal dengan berbahaya termasuk melakukan aksi seperti zig-zag, roket, superman dan berlumba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, operasi tersebut telah diadakan pada Jumaat lalu hingga awal pagi tadi di beberapa kawasan antaranya Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Jalan Kuching.
“Seramai 17 pegawai kanan dan 128 pegawai rendah JSPT Kuala Lumpur telah terlibat dalam operasi yang diadakan pada hujung minggu ini.
“Polis turut mengeluarkan 463 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 26 buah motosikal kerana mengubah suai struktur kenderaan,” jelasnya.
Zulkafli memberitahu, JSPT Kuala Lumpur akan terus meningkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE.