HULU TERENGGANU – Harga sayur-sayuran yang tidak menentu pada masa ini dijangka bakal stabil semula selewat-lewatnya pada awal bulan depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan maklum balas pekebun, kenaikan harga sayur pada masa ini disebabkan kekurangan bekalan ekoran perubahan cuaca sukar dijangka.
“Kita terima laporan berhubung (kenaikan) harga sayur. Puncanya kepada musim sekarang ini hujan panas tidak menentu, masalah penyakit (tanaman) dan paling ketara masalah buruh asing.
“Mereka (pekebun sayur) mengadu kepada kementerian (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan kita cuba selesaikan yang berkaitan,” katanya ketika memantau perjalanan program Jualan Kedai Prihatin di pekarangan Masjid Kampung Gaung, Kuala Berang di sini hari ini.
Begitupun, Rosol menjelaskan berdasarkan pengalaman sebelum ini, harga sayur mudah berubah-ubah dan kenaikan itu tidak kekal lama sebaliknya dijangka bakal stabil semula tidak lama lagi.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan senario kenaikan harga sayur semasa tidak begitu membimbangkan namun KPDNHEP tetap akan memantau bagi mengelak manipulasi harga.
Kosmo! 11 Mei lalu melaporkan peniaga sayur di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang mengeluh sayur hijau dan sawi mengalami kenaikan mendadak selepas sambutan Aidilfitri pada awal bulan lalu. – KOSMO! ONLINE