fbpx

Dolla tak kisah dituduh beli undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Dolla.

SIAPA tidak kenal dengan kumpulan yang dibarisi empat anggota kumpulan terdiri daripada empat jelitawan menggoda, Dolla.

Lahir betul-betul ketika negara dibadai pandemik Covid-19, Mac dua tahun lalu, Dolla perlahan-lahan mengatur langkah berani mempertaruhkan gerangan identiti dan bakat mereka.

Menjadi artis zaman norma baharu, kehadiran Dolla memang tidak sama dengan selebriti sedia ada. Manakan tidak, usahkan membuat persembahan luar, bertemu peminat secara langsung juga jauh sekali. Satu-satunya pentas dan dunia mereka hanyalah platform media sosial. Di situlah segala-galanya ditumpahkan untuk didekati mahupun penjenamaan diri.

Ternyata perkara tersebut bukan satu perkara mudah lebih-lebih lagi buat artis baharu menapak seperti mereka.

Ditambah pula dengan mulut-mulut jahat dan kata nista yang pernah dilemparkan netizen saat awal kemunculan dikatakan klon dan saling tak tumpah berkiblatkan kumpulan K-pop, Blackpink sebagai idola.

Dua tahun berlegar dalam industri, Dolla tidak sekadar menjual wajah. Pelbagai kejayaan turut diraih, bukan sahaja di peringkat lokal bahkan terbang jauh membawa pengaruh ke luar negara.

Paling manis, Dolla menjadi antara penjulang trofi Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) baru-baru ini.

DOLLA menyifatkan kemenangan dalam AME2021 sebagai kejayaan terindah semenjak debut sekitar Mac dua tahun lalu. – UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Dipertikai

Genap seminggu dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Top AME2021, nasib Dolla sama seperti kebanyakan artis lain.
Rumah siap pahat berbunyi apabila mulut-mulut jahat mendakwa Dolla tidak layak menang kategori tersebut memandangkan masih terlalu hijau dalam industri.

Tidak setakat itu, ada juga netizen dalam media sosial yang menghakimi, trofi yang dipeluk Dolla sewajarnya milik orang lain, saingan mereka pada malam berkenaan.

“Ya, kami pun ada dengar dan baca juga komen netizen yang mengatakan kami tidak layak pegang trofi tersebut.

“Tapi ini bukan kemahuan kami dan bukan kami yang susun atur siapa pemenang.

“Tiga kategori utama malam ini (Ahad lalu) semuanya 100 peratus ditentukan oleh juri berpengalaman.

“Mungkin sudah tertulis ini rezeki kami berempat untuk AME2021. Jadi kami terima secara berbesar hati dengan kemenangan yang diberikan ini,” kata Noorsyasya Afiqah Shahrizal atau lebih dikenali sebagai Syasya kepada Pose.

Tambahnya, tiada apa yang perlu dipertikaikan kerana keputusan yang dilakukan bukan atas kehendak peribadi. Apatah mereka tiada kuasa mutlak seperti juri.

DOLLA berjanji akan lakukan yang terbaik selagi mana bakat mereka ditagih ramai.

Dakwaan

Tidak terhenti di situ, kemenangan pada AME2021 turut dihimpit dengan satu lagi isu menuduh Dolla menggunakan peminat untuk membeli undian hingga melayakkan mereka tercalon dalam AME2021.

Tidak hairan kritikan sebegitu tidak akan terlepas daripada hinggap ke muka mereka, Sabronzo juga pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kemenangan Dolla.

“Bab ini kami tak boleh nak komen lanjut kerana kami tak buat perkara tersebut (beli undi).

“Semua artis yang tercalon ada peminat mereka tersendiri.

“Mungkin perkara tersebut berlaku kepada artis lain, tetapi bukan kami. Kami sampai di sini berbekalkan semangat dan bakat yang dibawa.

“Lagi pun bukan kami saja yang dikatakan membeli undi, artis lain yang menang kategori utama pun dikatakan begitu, jadi senyum terserahlah,” kata pemilik nama Wan Sabrina Wan Rusli itu tersenyum.

Tutup soal undian dan pertikaian ramai, empat wanita cantik itu percaya jenama Dolla akan meluas tidak sahaja dalam kalangan peminat lokal bahkan bakal melebar ke peringkat lebih tinggi.

DOLLA tidak mahu terlalu serius memikirkan kritikan dan dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaian kemenangan mereka dalam AME2021.

Visi, janji

Tambah Sabronzo, selepas ini akan ada beberapa projek besar, termasuk material baharu yang lebih segar menunggu masa untuk dilancarkan, selain kolaborasi strategik bersama beberapa penyanyi lain.

“Selagi mana kami diterima dan bakat kami ditagih, selagi itu jugalah kami akan tetap ada untuk anda semua.

“Terima kasih juga atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan semua sejak kami debut dua tahun lalu,” ujarnya.

Janji Dolla turut dibarisi dua nama Tabitha Ariel Lam (Tabby) serta Angelina Chai Ka Ying (Angel) akan terus memberikan yang terbaik dalam memastikan indusri seni suara di negara ini terus terisi dengan naskhah berkualiti.

DOLLA yang dianggotai empat wanita muda berbeza kaum itu dilihat terus komited dalam memastikan keberadaan mereka diterima meluas.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI