MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo tampil menyatakan komitmennya untuk terus kekal di Old Trafford sambil mengakui sedang bersiap sedia untuk berada di bawah kendalian Erik Ten Hag.
Pemain berusia 37 tahun itu memiliki baki kontrak selama setahun lagi di kelab tersebut ketika United berdepan krisis prestasi ketika ini, namun yakin bahawa nasib pasukan itu bakal berubah dengan syarat beberapa perubahan perlu dilakukan.
“Saya sangat gembira, sudah tentu keputusan kembali ke United adalah tepat kerana berjaya mengangkat semula karier saya. Ia adalah suatu yang menakjubkan.
“Perasaan ketika kembali ke sini semula adalah sangat hebat terutama ketika disambut oleh para peminat. Kegembiraan mereka membuatkan saya rasa bahagia.
“Saya masih lagi dan akan terus gembira untuk kekal di sini,” katanya.
Ronaldo berjaya muncul sebagai penjaring terbanyak United dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan meledak 18 gol biarpun gagal membantu pasukan itu layak ke saingan Liga Juara-Juara, tetapi dia masih bersemangat untuk memulakan musim baharu.
“Saya percaya United akan kembali ke tempat sepatutnya kami berada. Seperti saya katakan sebelum ini, ia mungkin mengambil masa, tetapi masa itu akan tiba juga nanti.
“Motivasi saya masih kekal, hanya perlu terus bekerja keras. Saya masih lagi bersemangat untuk terus beraksi dan sudah tentu saya perlu berterima kasih kepada seluruh pasukan ini yang sentiasa membantu,” jelasnya. – AGENSI