KUALA LUMPUR – Pada usia 58 tahun, penyanyi Datuk Hattan membuktikan beliau masih merupakan antara vokalis lelaki unggul tanah air menerusi penganjuran konsert berskala mega, Hattan 35 Years Journey, malam tadi.
Berdurasi selama lebih tiga jam, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Shahabudin ternyata berada pada liga tersendiri. Usia makin meningkat namun stamina, listrik vokal dan energi pentas figura kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan itu memang tiada tolak banding.
Mendendangkan 24 buah lagu, Hattan memberi epitome bahawa bakat nyanyian, karisma dan muzik orang lama sememangnya kekal berkelas semestinya kerana ilmu seni yang diamalkan bukan sekadar bersandarkan populariti semata-mata tetapi juga kualiti yang berbelah-bahagi.
Memulakan nuansa persembahan dengan lagu Biso Bonar, Hattan bukan hanya menyanyi, beliau juga berjaya memastikan setiap bait lirik yang dilontarkan meresap masuk ke jiwa audiens. Itu dicapai dengan teknik penceritaan dalam nyanyian.
Hanya anak seni yang betul-betul komited dengan kerja seni mereka seperti Hattan mampu merencanakan perihal seperti itu. Hebat! Itulah yang diberikan beliau untuk lagu-lagu berikutnya.
Antara persembahan paling membekas adalah apabila Hattan menyanyikan lagu Dari Kekasih Kepada Kekasih. Garau suara jantan Hattan masih seperti dulu dan penghayatan emosinya membuatkan jiwa audiens melayang sekali gus membuatkan penonton yang hadir menyanyi sama dengannya.
Konsert malam tadi turut menyaksikan Hattan menyanyikan lagu-lagu yang barangkali kurang lazim di cuping telinga peminat seperti Arca dan Hujan Berapi. Sungguhpun begitu, energi sama adil diberikan Hattan buat para peminat yang hadir.
Berdiri sebagai seorang penghibur, Hattan bijak menjalin komunikasi dengan penonton. Sesekali, beliau bersoroh dan memecahkan hening nuansa persembahan dengan lagak spontannya.
Hattan ada banyak lagu hit namun satu lagu yang barangkali sangat ditunggu-tunggu peminat adalah Memburu Rindu ciptaan Bob Lokman bersama Datuk M. Nasir. Berbusana rona biru dan berkaca mata hitam, tiada penyanyi yang mampu membawakan lagu tersebut seadil dan selayaknyan Hattan. Sungguh, Hattan merupakan antara vokalis lelaki terbaik tanah air!
Kehebatan dan karisma anak seni Hattan ditutup kemas dengan lagu penutup berjudul Mahligai Syahdu yang benar-benar membuai jiwa para peminat yang dianggarkan kira-kira 1,700 orang.
Konsert Hattan 35 Years Journey dibawakan Mewah Event Management selama dua malam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pukul 8 malam pada 4 dan 5 Jun 2022. – KOSMO! ONLINE