LONDON – Pasukan bomba Britain telah membelanjakan lebih £3 juta (RM16.4 juta) untuk menyelamatkan haiwan dalam tempoh lima tahun lepas, termasuk seekor lembu jantan yang terperangkap di dalam kolam renang, lappr akhbar Daily Star UK, kelmarin.
Pihak bomba menjawab 75 panggilan menyelamat haiwan seminggu dengan 54 peratus daripadanya melibatkan haiwan peliharaan, 22 peratus berkaitan ternakan dan 24 peratus bagi hidupan liar.
Dalam satu kes, seekor lembu jantan seberat 600 kilogram (kg) yang terperangkap selama empat jam di dalam kolam di Paignton, Torbay berjaya diselamatkan oleh anggota bomba Devon dan Cornwall.
Anggota bomba terpaksa mengepam air supaya kaki haiwan yang panik itu boleh sampai ke dasar sebelum kren mengangkatnya ke treler.
Anggota bomba London pula pernah dipanggil untuk menyelamatkan seekor anjing yang terperangkap di dalam kolam beku di Barnet.
Mereka juga menyelamatkan seekor burung kakaktua dari bumbung di Edmonton.
Sementara itu, seekor iguana yang melarikan diri ke atas bumbung dalam cuaca panas 30 darjah Celsius untuk berjemur telah diselamatkan dalam operasi yang berlangsung selama satu setengah jam, dijalankan oleh Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Nottinghamshire.
Terdapat juga kes melibatkan seekor kambing yang ketakutan tersesat di tebing kecil kuari yang berbahaya hingga terpaksa diumpan keluar sejauh 96 kilometer ke tempat selamat oleh Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat West Sussex. – Agensi