DHAKA, BANGLADESH – Sekurang-kurangnya 49 maut manakala beratus-ratus lagi dilaporkan cedera dalam satu kebakaran di sebuah depoh kontena di bandar Sitakunda, tenggara Bangladesh.
Kebakaran merebak di kemudahan penyimpanan kontena pedalaman yang hanya 40 kilometer di luar pelabuhan laut utama negara, Chittagong sejurus sebelum tengah malam, demikian menurut pegawai bomba, Jalal Ahmed.
Beberapa unit pemadam kebakaran bergegas ke depoh untuk memadamkan api apabila letupan besar menggegarkan tapak lokasi, mencederakan ramai orang termasuk anggota bomba.
“Seramai 49 orang terbunuh dalam kebakaran tersebut. Angka itu dijangka meningkat kerana kira-kira 300 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” kata Ketua Pasukan Perubatan Chittagong, Elias Chowdhury.
Mangsa-mangsa berada dalam keadaan kritikal dengan kesan melecur meliputi antara 60 hingga 90 peratus badan mereka.
Kru kecemasan masih berusaha untuk memadamkan kebakaran dan operasi tersebut masih belum tamat.
Sementara itu, Ketua Polis tempatan, Abul Kalam Azad berkata, beberapa jabatan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran yang turut mencederakan anggota bomba.
“Kira-kira 170 mangsa cedera termasuk sekurang-kurangnya 40 anggota bomba dan 10 pegawai polis. Tujuh anggota bomba turut terkorban,” ujarnya.
Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Kontena Pedalaman Bangladesh (BICA), Ruhul Amin Sikder berkata, beberapa kontena di depoh persendirian seluas 30 ekar itu mengandungi bahan kimia mudah terbakar termasuk hidrogen peroksida. – AFP