PETALING JAYA – Kenderaan semakin bertambah di kedua-dua arah di Lebuh Raya Utara-Selatan serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang ini.
Laporan terkini Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di Facebook menyatakan, aliran trafik perlahan menuju ke selatan melibatkan laluan persimpangan Nilai Utara ke Nilai; Yong Peng Utara ke Yong Peng Selatan dan Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Ayer Keroh ke Ayer Keroh.
“Selain itu, ia turut melibatkan Bertam ke Sungai Dua; Permatang Pauh ke Perai; Kuala Kangsar ke Sungai Perak,” kata LLM hari ini.
Sementara itu, bagi laluan menghala ke utara pula, trafik sesak di Bandar Baharu ke Jawi; Tapah ke Hentian Sebelah Gua Tempurung, Machap ke Yong Peng Utara; Jasin ke Ayer Keroh, Pedas Linggi ke Senawang terus ke Persimpangan Port Dickson dan RnR Seremban ke Nilai.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus berhati-hati ketika memandu dan disaran menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan dengan baik. – KOSMO! ONLINE